Friday, May 17, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Dubai mula bina terminal ‘terbesar dunia’

    DUBAI, 29 APRIL – Dubai mengumumkan pada hari Ahad bahawa kerja-kerja telah dimulakan pada terminal baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, di mana menurut pemerintah emiriah Teluk itu ia akan menjadi ‘yang terbesar di dunia’ dengan kos hampir AS$35 bilion.

    “Kami meluluskan reka bentuk untuk terminal penumpang baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum, dan (sedang) memulakan pembinaan bangunan itu dengan kos AS$34.85 bilion,” Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, pemerintah Dubai dan perdana menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE), berkata pada X.

    “Setelah beroperasi sepenuhnya, lapangan terbang itu akan mengendalikan kapasiti penumpang sebanyak 260 juta setiap tahun”, kata kerajaan dalam satu kenyataan.

    Sheikh Mohammed berkata ia akan mempunyai ‘kapasiti terbesar dunia’ dan ‘lima kali ganda saiz Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai semasa’, yang merupakan salah satu hab udara tersibuk di dunia.

    Lakaran artis yang disediakan oleh kerajaan ini menunjukkan pelan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum di Dubai World Central di Dubai, UAE. – AP

    Menurut Sheikh Ahmed bin Saeed Al Maktoum, presiden Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Dubai dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan bendera Emirates, “fasa pertama projek itu akan siap dalam tempoh 10 tahun, dengan kapasiti untuk menampung 150 juta penumpang setiap tahun. “

    Dibina di pinggir bandar, lapangan terbang Al Maktoum telah menerima sebahagian kecil daripada trafik udara hab kewangan Teluk sejak 2010.

    Pihak berkuasa mahu ia menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, yang mempunyai kapasiti sehingga 120 juta penumpang setiap tahun dan lokasi pusat bandarnya menghalang pengembangan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Xi, Putin hadir rasmikan Tahun Budaya China-Rusia

    BEIJING, 17 MEI - Upacara perasmian Tahun Budaya China-Rusia dan konsert khas bagi meraikan ulang tahun ke-75 ikatan diplomatik kedua-dua negara berlangsung di Beijing...