Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Feeya ‘menyerah diri’ ke wad selepas dijangkiti Infuenza A

    Selepas beberapa hari mengalami demam panas, penyampai radio Suria FM, Feeya Iskandar ‘menyerah’ diri ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur dan disahkan dijangkiti Influenza A semalam.

    Feeya atau Cik Piah, 34, berkata, dia pada awalnya ke hospital bagi membuat pemeriksaan doktor namun disahkan dijangkiti virus berkenaan.

    Kata Cik Piah, dia mendapat virus tersebut daripada dua anaknya iaitu Adam Malique, 6 dan Nur Aryyan, 5, yang sebelum ini turut diserang virus sama pada awal bulan ini.

    “Saya berjangkit dengan anak saya, mereka yang kena dulu. Virus ini memang berjangkit tapi mereka sudah okey, tapi saya pula kena,” ujarnya.

    “Suami saya sahaja yang belum kena dan sebab itu saya pilih dimasukkan ke wad supaya tidak menjangkitinya pula. Dekat hospital ini ada ubat dan doktor pantau. Dapat juga saya berehat,” jelasnya.

    Bagaimanapun, Cik Piah berkata, dia masih belum pasti akan ditahan berapa lama di wad namun menjangkakan selepas demamnya kebah.

    Berkongsi keadaan terkini, Cik Piah memaklumkan dia hilang selera makan selain mengalami rasa tidak selesa pada bahagian tekak.

    Terdahulu, Cik Piah menerusi Instagram memaklumkan dia tidak dapat turut serta Jelajah Suria yang bakal berlangsung pada Sabtu ini Paradigm Mall, Johor Bahru. – Agensi

    Feeya pilih untuk berehat di hospital elak suami dijangkiti Influenza A. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda