Saturday, November 23, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Festival Korea 2024 buka tirai

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Kedutaan Besar Republik Korea di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Times Square Brunei, kelmarin, mengadakan Festival Korea 2024 selama tiga hari di pusat membeli-belah tersebut, di Berakas.

    Upacara dimulakan dengan memotong reben yang disempurnakan oleh tetamu kehormat iaitu Timbalan Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Majlis dimulakan dengan bacaan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Duta Besar Republik Korea ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kim Soung-eun.

    Menurut Tuan Yang Terutama, selama 40 tahun, Republik Korea dan Brunei telah membina hubungan berdasarkan pemahaman, dan pertukaran budaya. Festival Korea tahunan ini telah menjadi asas kepada usaha-usaha tersebut, bagi memperkenalkan rakyat Brunei kepada keajaiban Korea dan memberikan peluang untuk menyaksikan budaya tradisional dan trend terkini Korea.

    “Ketika kita meraikan ulang tahun ke-40 yang bersejarah ini, festival ini akan menjadi yang paling menyeronokkan dengan persembahan K-pop yang menggambarkan keceriaan Korea moden, menampilkan pertunjukan istimewa oleh ahli Kelab Budaya Korea, Expression Music, dan Relentless Academy, kelas memasak Korea yang akan memperkenalkan orang ramai dengan cita rasa masakan korea, sesi memakai hanbok untuk memberi peluang kepada orang ramai mengalami tradisi pakaian tradisional Korea dan banyak lagi,” kongsinya.

    Upacara pembukaan Festival Korea itu menampilkan persembahan K-pop bagi memeriahkan lagi suasana, diikuti dengan demonstrasi taekwondo oleh Kukkiwon Demo Team.

    Turut sama memeriahkan Festival Korea 2024 di Times Square ialah penyertaan daripada KOCAMA Sdn Bhd, Cuckoo International Brunei, Freme Travel Services Sdn Bhd, Grand Motors, Intracorp Sdn Bhd, Pan Bright Travel Services Sdn Bhd, Setia Motors dan lain-lain.

    Festival juga diisikan dengan demonstrasi memasak, pemakaian hanbok, khemah foto, kuiz, penulisan nama Hangul dan permainan tradisional Korea dan cabutan bertuah.

    Dr Siti Norkhalbi menyerahkan cenderahati kepada TYT Kim Soung-eun. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Persembahan K-pop bagi memeriahkan lagi suasana. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda