Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Google akan labur dalam latihan AI di Eropah

    SAN JOSE, 13 FEB – Kumpulan teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Alphabet Inc, Google melancarkan ‘AI Opportunity Initiative for Europe’ bagi menyediakan latihan kemahiran kecerdasan buatan (AI), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Dana sebanyak €25 juta (AS$26.9 juta) akan disalurkan bagi membantu orang ramai memanfaatkan peluang dalam bidang AI memandangkan Eropah berada pada kedudukan yang baik menerajui bidang itu.

    Google bekerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU), masyarakat sivil, ahli akademik dan sektor perniagaan untuk menyediakan latihan AI yang canggih kepada pemula tempatan dan komuniti berisiko ketinggalan ekoran perkembangan penggunaan AI di tempat kerja. 

    Inisiatif AI terbaharu Google di Eropah yang dipanggil ‘Grow with Google’, menawarkan latihan percuma untuk menangani jurang kemahiran digital di EU.

    Program AI ini akan melatih golongan profesional dalam memanfaatkan teknologi terbabit di tempat kerja.

    Google membuka permohonan bagi perusahaan sosial dan organisasi tidak berasaskan keuntungan untuk mendapat manfaat daripada latihan itu.

    Organisasi terpilih akan menerima latihan khas mengenai pengenalan AI.

    Google juga telah mengembangkan kursus asas AI kepada 18 bahasa dan meningkatkan program Sijil Kerjaya Google dengan menawarkan pengalaman praktikal dalam menggunakan AI dalam bidang profesional.

    Pengarah Eksekutif Pusat Impak Awam Adrian Brown berkata program baharu itu akan membantu orang ramai di seluruh Eropah mengembangkan pengetahuan, kemahiran serta keyakinan mereka tentang AI dan memastikan tiada sesiapa ketinggalan. – Bernama

    Gambar fail logo Google dipaparkan di pejabat mereka pada 1 November 2018. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda