Friday, November 1, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guna UKAS untuk beri pandangan program, dasar kerajaan Sarawak

    KUCHING, 31 OKT – Rakyat boleh menyalurkan maklum balas mereka terhadap mana-mana program atau dasar kerajaan menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

    Beliau berkata peranan UKAS bukan hanya menyampaikan hasrat kerajaan, tetapi juga mengumpulkan maklum balas daripada rakyat.

    “Penyaluran maklumat yang cepat dan tepat adalah isu yang perlu dilaksanakan dengan berkesan oleh UKAS bagi mengurangkan jurang pemahaman antara kerajaan Sarawak dan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Jelajah Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa di Kuching, hari ini.

    Abdullah berkata kerajaan Sarawak sentiasa mahukan masyarakat memberi maklum balas konstruktif terhadap program atau dasar yang hendak dilaksanakan.

    “Mungkin di peringkat Kabinet, di peringkat menteri dan timbalan menteri (program atau dasar) nampak cantik tetapi kita tidak tahu apa pandangan masyarakat (berkaitan program atau dasar berkenaan),” katanya.

    Abdullah berkata orang ramai juga boleh menyalurkan pandangan terhadap prestasi wakil rakyat masing-masing bagi membantu kepimpinan negeri menilai keberkesanan wakil rakyat terbabit. – Bernama

    Gambar Facebook UKAS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda