Thursday, May 2, 2024
26.9 C
Brunei

    -

    Gunung berapi meletus, penduduk digesa pindah

    TOKYO, 24 JULAI – Puluhan penduduk digesa untuk berpindah dari rumah mereka selepas berlaku letusan gunung berapi di selatan Jepun hari ini ketika agensi kaji cuaca negara itu mengeluarkan amaran tahap tertinggi.

    Rakaman televisyen menunjukkan batu merah panas dan kepulan asap meledak dari gunung berapi Sakurajima di Kagoshima, yang meletus sejurus selepas 8 malam.

    Belum ada laporan kemusnahan, kata timbalan ketua setiausaha kabinet, Yoshihiko Isozaki.

    Perdana Menteri Fumio Kishida telah mengarahkan kerajaan ‘untuk bekerjasama rapat dengan perbandaran tempatan untuk memastikan pencegahan kemusnahan, seperti menerusi pemindahan,” kata Isozaki kepada wartawan.

    Gunung berapi yang menjadi tarikan utama pelancongan itu kerap memuntahkan asap dan debu.

    Ledakan gunung berapi Sakurajima pada malam 24 Julai di wilayah Kagoshima, Jepun. – AP

    Ledakan hari ini memuntahkan batuan piroklas halus sekitar 2.5km dari kawahnya, kata Agensi Meterologi Jepun (JMA), sementara gumpalan asapnya mencecah sekitar 300 meter dan bergabung dengan awan.

    Agensi itu meningkatkan amarannya bagi Sakurajimi kepada tahap lima, tahap tertinggi yang menggesa pemindahan.

    Sebelumnya ia berada pada tahap tiga, yang menegah kemasukan ke pergunungan tersebut.

    Gunung berapi menyaksikan empat ledakan sebelumnya antara petang kelmarin dan hari ini dengan kepulan asap mencecah setinggi 1,200 meter.

    “Penduduk kawasan bandar Arimura dan Furusato dalam lingkungan tiga kilometer dari puncak kawah….Sakurajima seharusnya meningkatkan kewaspadaan,” kata Tsuyoshi Nakatsuji dari Bahagian Pemantauan Gunung Berapi JMA kepada wartawan. Menurut Bandar Kagoshima, terdapat 77 penduduk berada di dua bandar tersebut.

    Nakatsuji berkata JMA minggu lalu telah memantau gelembung gunung berapi yang menandakan pengumpulan magma. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...