Friday, May 3, 2024
24 C
Brunei

    -

    Identiti mangsa tanah runtuh dikenal pasti

    KUALA LUMPUR, 11 MAC – Polis hari ini mengeluarkan identiti empat mangsa yang terkorban dan seorang yang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini, semalam.

    Mereka yang maut ialah A. Mahendra, 36; E. Ramasamy, 58; Mohd Saifullah Ridzuan Ishak, 34; dan Chong Siew Kim, 85; manakala yang cedera ialah Cheng Kim Cheng, 85.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata semua mayat dihantar ke Hospital Ampang dan ahli keluarga telah melakukan pengecaman.

    ”Mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Ampang,” katanya kepada pemberita di sini.

    Mohamad Farouk berkata beliau dimaklumkan masih terdapat kesan rekahan dan pergerakan tanah di kawasan berkenaan dan sehubungan itu polis menasihatkan penduduk setempat akur untuk mengosongkan rumah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

    Lokasi kejadian tanah runtuh yang berlaku petang 10 Mac di Taman Bukit Permai 2 Ampang. – Bernama

    “Kami akan melakukan pemantauan 24 jam, disertai oleh 30 anggota polis. Penduduk juga boleh membuat aduan di pondok yang disediakan,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata seramai 123 anggota bomba dari Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) menyertai operasi mencari dan menyelamat bermula 5:54 petang semalam hingga 3 pagi ini.

    Beliau berkata tiga daripada empat mangsa ditemukan tertimbus tanah sedalam satu hingga 1.5 meter dan pihaknya menggunakan mesin pengorek untuk mengeluarkan mangsa.

    “Pemeriksaan kami mendapati tiga daripada lima mangsa cuba menyelamatkan diri tetapi tidak sempat kerana pergerakan tanah dan tertimbus. Terdapat sebuah rumah yang rosak 100 peratus dan beberapa rumah yang berhampiran turut terjejas,” katanya.

    Beliau berkata beberapa anggota akan ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan sekiranya berlakunya kejadian tanah runtuh yang berulang.

    Kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 5.54 petang semalam meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera selain merosakkan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...