Friday, September 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Imigresen Sabah tahan 61 ‘pelancong’ haram di Semporna

    TAWAU, 25 OGOS – Seramai 61 lelaki warga asing yang memasuki negara ini sebagai pelancong ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan Operasi Mahir di Pulau Bum Bum dan Pulau Mataking dekat Semporna, semalam.

    Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata mereka ditahan dalam operasi berkenaan selepas disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di sektor pembinaan di Semporna.

    Beliau berkata kesemua yang ditahan membabitkan seramai 36 warganegara China serta 25 warganegara Filipina berumur antara 19 hingga 64 tahun yang merupakan sebahagian daripada 95 individu diperiksa dalam operasi sehari bermula pukul 7:45 pagi dan berakhir pukul 3 petang.

    “Mereka sepatutnya menjadi pelancong. Mereka memegang pas lawatan sosial untuk melancong. Kita mengesyaki mereka salah guna pas dengan bekerja di tapak pembinaan untuk membuat resort di perairan Semporna.

    Mereka sepatutnya pulang ke negara asal pada Mei tapi mereka tinggal lebih masa sehingga Ogos.

    “Mereka ditahan atas kesalahan termasuk di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selain Peraturan 39(b) iaitu Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

    “Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Tawau bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Sh Sitti Saleha berkata operasi dilakukan selepas menerima aduan awam berhubung warganegara asing yang bekerja di lokasi itu, dan JIM juga sedang mengesan majikan serta pemilik premis atau tanah berkenaan untuk siasatan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda