Thursday, May 2, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Jaga keseimbangan nutrisi dalam menyambut Aidilfitri

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    Hari Raya Aidilfitri, meriah dengan warna-warni yang membingkai suasana, turut diserikan dengan amalan ziarah-menziarahi yang mempererat tali persaudaraan. Dalam gema tawa dan bermaaf-memaafan, satu lagi elemen yang tidak terpisah daripada kemeriahan ini adalah juadah yang pelbagai.

    Menghidangkan sebuah juadah bukan sekadar tradisi, melainkan juga penghargaan kepada tetamu. Namun, adakalanya kita terlupa akan pentingnya keseimbangan nutrisi dalam setiap suapan. Di saat ketupat dan rendang menjadi simbol kebersamaan, pentingnya pemakanan yang sihat kadang-kala terabai dalam kemeriahan. Berapa ramaikah yang sedar akan pentingnya pemakanan secara sihat semasa musim perayaan ini?

    Walaupun Hari Raya merupakan puncak kemenangan, ia bukan alasan untuk mengabaikan kewarasan dalam memilih apa yang kita suapkan. Hakikatnya terlalu sering, kita terjebak dalam kenikmatan yang mengasyikkan hingga melupakan risiko kesihatan yang datang bersama pilihan makanan yang kurang tepat seperti kandungan gula, lemak, dan garam yang tinggi.

    SENTIASA KAWAL DIRI

    Saling beringat-ingat, amalan pemakanan yang sihat tidak boleh dilupakan walau di mana pun kita berada lebih-lebih dalam suasana kunjung-mengunjungi. Begitu mustahak, kita mengamalkan kesederhanaan semasa makan bahkan sebaiknya, perlunya kita mengawal hawa nafsu kita sendiri walaupun limpahan juadah tersedia di depan mata.

    Menyentuh mengenai had pengambilan makanan dan minuman, kita mestilah sentiasa memilih makanan yang rendah kalori seperti buah-buahan segar terlebih dahulu sebelum mengambil makanan yang lain. Perlu diingatkan juga untuk sentiasa mengutamakan makanan yang kurang minyak, lemak dan santan.

    Begitu mustahak, kita mengamalkan kesederhanaan semasa makan bahkan sebaiknya, perlunya kita mengawal hawa nafsu kita sendiri walaupun limpahan juadah tersedia di depan mata. – GAMBAR FAIL NURDIYANAH R.
    Hadkan pengambilan hidangan manis seperti kuih-muih dan minuman. – Freepik
    Walaupun Hari Raya merupakan puncak kemenangan, ia bukan alasan untuk mengabaikan kewarasan dalam memilih apa yang kita suapkan. – Bernama
    Tidak ada salahnya untuk sesekali kita menikmati makanan kegemaran, namun kebijaksanaan dalam memilih harus tetap diutamakan. – Bernama
    Gambar Freepik

    Hadkan pengambilan hidangan manis seperti kuih-muih dan minuman berkarbonat. Begitu juga elakkan makanan yang tinggi kandungan garam seperti keropok. Di samping itu, kita juga perlu mengawal pengambilan makanan dengan kuantiti yang tidak berlebihan.

    TUAN RUMAH PERLU PEKA

    Namun begitu, sebagai tuan rumah pula perlulah peka dengan keperluan tetamu. Jika boleh, pastikan juga kita menghidangkan pilihan makanan yang lebih sihat untuk para tetamu. Salah satu langkah yang terbaik ialah mereka hendaklah menyediakan makanan yang seimbang, sederhana dan pelbagaikan hidangan tersebut terutamanya bercirikan makanan yang kurang lemak, manis dan masin.

    Antara tip yang perlu dilakukan ialah kalau hidangan utama awda ialah ketupat, sediakanlah hidangan lain yang kurang lemak seperti rendang yang tidak menggunakan santan tetapi susu rendah lemak. Sekiranya awda ingin menghidangkan mi, pilihlah mi hoon daripada mi kuning atau mi tiaw. Sediakan mi sup atau jenis rebus daripada mi goreng. Sup tom yam tanpa santan pun boleh disediakan.

    Selain itu tambahkanlah sayur-sayuran di dalam mi berkenaan. Jika hidangan utama awda berupa nasi, sediakan nasi bersama dengan ayam kukus; atau panggang serta dengan mengelakkan makanan jenis bergoreng.

    DEMI NILAI KESIHATAN

    Seperkara juga yang perlu kita amalkan ialah untuk sentiasa mengambil minuman air kosong secukupnya dan mengambil makanan yang tinggi serat bagi mengelakkan kita daripada mengalami masalah penghadaman semasa berhari raya.

    Begitu juga bagi mereka yang mengambil ubat-ubatan, sentiasalah berubaya-ubaya dan makanlah ubat terlebih dahulu sebelum membuat perjalanan ke mana-mana mengikut arahan yang ditetapkan oleh pihak doktor dan janganlah sesekali meninggalkan memakan ubat.

    Akhirnya, di saat kita merayakan kemenangan ini, mari kita juga saling menjaga kesihatan.

    Tidak ada salahnya untuk sesekali kita menikmati makanan kegemaran, namun kebijaksanaan dalam memilih harus tetap diutamakan. Kesihatan adalah hadiah yang harus kita jaga dengan penuh kesyukuran. Di setiap sambutan, di setiap suapan, ada pilihan untuk mengatakan ‘tidak’ kepada yang berlebihan, dan ‘ya’ kepada yang membawa manfaat.

    Begitulah cara kita merayakan Hari Raya dengan penuh warna dan kesihatan, mengukir kenangan indah di antara kenikmatan dan bertanggungjawab.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...