Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Ketua Jurulatih DPMM FC, Jamie McAllister telah menggelar wira kemenangan perlawanan, Azwan Salleh, sebagai ‘seorang profesional terkemuka’ selepas kejayaan pasukannya menewaskan Albirex Niigata (S) 3-2 dalam Liga Perdana Singapura di Stadium Jurong East, Singapura baru-baru ini.
Pemain veteran berpengalaman itu menjaringkan gol pada saat-saat akhir selepas menyambut hantaran lintang Miguel Oliveira dan menewaskan penjaga gol Albirex, Hassan Sunny, yang mencetuskan sorakan kegembiraan dalam kalangan pemain DPMM FC.
Ketua jurulatih itu berkata, “Saya sangat gembira kerana Param (Azwan) menjaringkan gol. Dia memang seorang pemain profesional terkemuka dan mempunyai keperibadian yang hebat.”
Dia juga memberikan pujian kepada pasukan kerana menunjukkan persembahan yang menarik sepanjang perlawanan.
“Saya rasa para pemain menunjukkan prestasi yang hebat selepas ketinggalan 1-0, selepas kehilangan Najib, pemain pertahanan kiri, dan Ikhwan.
“Tetapi, kami mempamerkan prestasi, ketabahan, keazaman, keinginan dan semangat untuk mendahului dan untuk mengikat kedudukan 2-2, kami tidak pernah berputus asa.
“Terdapat banyak aksi yang baik, Param amat cemerlang, Hanif pula masuk dan dia juga menyerlah,” ujarnya.
Apabila ditanya mengenai pendapatnya tentang gol kemenangan perlawanan, Azwan menjawab, “Saya tidak menjangkakannya, ia adalah bonus untuk saya.”
Jamie turut menyentuh mengenai insiden melibatkan Najib Tarif, yang mengalami kecederaan di kepala selepas bertembung dengan pemain Albirex dan dikejarkan ke hospital.
“Kami mendapati dia sedar dan dalam keadaan baik. Jadi, itu adalah satu detik yang sukar untuk para pemain.
“Pemain agak emosi selepas apa yang berlaku kepada Najib.
“Bola sepak menjadi perkara kedua apabila perkara seperti itu berlaku,” tambahnya.