BERLIN, 10 JAN – Jerman hari ini melaporkan tiga kes penyakit kaki dan mulut dalam kerbau air di sebuah ladang berhampiran Berlin, yang merupakan kes pertama penyakit ternakan itu sejak 1988.
Penyakit kaki dan mulut adalah jangkitan virus yang sangat mudah berjangkit yang tidak berbahaya kepada manusia, tetapi menjejas haiwan bertanduk dan beberapa mamalia lain termasuk kambing biri-biri dan khinzir.
Gejala termasuk demam dan lepuh di mulut serta berhampiran kuku.
Jangkitan tersebut dikenal pasti di negeri Brandenburg di timur, berdekatan Berlin, kata jurucakap negeri itu kepada AFP, sambil menambah bahawa kes tersebut telah disahkan oleh Institut Kesihatan Haiwan kerajaan negara.
Akhbar Bild melaporkan bahawa ketiga-tiga haiwan yang dijangkiti telah mati dan selebihnya daripada sekumpulan 11 kerbau air akan dibunuh.
Jurucakap Kementerian Makanan dan Pertanian, Michael Hauck, mengesahkan bahawa ia adalah wabak pertama di Jerman sejak 1988.
“Zon pengecualian seluas tiga kilometer dan zon pemantauan seluas 10 kilometer telah ditubuhkan,” katanya.
Dalam wabak-wabak sebelumnya di Eropah, lebih daripada 2,000 haiwan telah dihapuskan untuk mengawal penyakit itu di UK selepas satu wabak pada 2007, menurut kerajaan British. – AFP
