NAIROBI, 6 SEPT – Kira-kira 17 kanak-kanak meninggal dunia selepas kebakaran memusnahkan asrama sekolah rendah di tengah Kenya, kata polis hari ini.
Kebakaran di Akademi Endarasha Hillside, daerah Nyeri, berlaku sekitar tengah malam, kata polis, dan telah memusnahkan bilik-bilik tempat kanak-kanak itu sedang tidur.
Sekolah rendah itu menampung kira-kira 800 murid, berumur antara lima hingga 12 tahun.
“Terdapat 17 kematian akibat kejadian itu dan terdapat juga beberapa orang yang lain dibawa ke hospital akibat kecederaan parah,” kata jurucakap polis negara, Resila Onyango kepada AFP.
“Mayat yang ditemui di tempat kejadian terbakar sehingga tidak dapat dikenali,” katanya.
Polis berkata purata umur mangsa adalah sekitar sembilan tahun.
Beberapa yang lain cedera, kata Onyango, 16 daripadanya mengalami kecederaan serius dan telah dikejarkan ke hospital berdekatan.
“Kemungkinan lebih banyak mayat akan ditemui setelah tempat kejadian diproses sepenuhnya,” katanya.
Punca kebakaran masih belum diketahui, tetapi siasatan telah dilancarkan.
Presiden William Ruto menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.
“Fikiran kami adalah bersama keluarga kanak-kanak yang kehilangan nyawa dalam tragedi kebakaran itu,” katanya dalam catatan di X.
“Ini adalah berita yang menyedihkan.” Dia berkata dia telah mengarahkan pegawai untuk “menyiasat dengan teliti kejadian yang mengerikan ini”, dan berjanji bahawa mereka yang bertanggungjawab akan dipertanggungjawabkan.
Sekolah itu terletak kira-kira 170 kilometer di utara ibu kota Nairobi, di daerah Nyeri.
Palang Merah Kenya berkata bahawa mereka berada di lokasi untuk membantu pasukan tindak balas pelbagai agensi.
Dalam catatan di X, mereka menyebut bahawa mereka sedang “memberikan perkhidmatan sokongan psikososial kepada murid-murid, guru-guru dan keluarga yang terjejas.” – AFP