Friday, November 1, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    KKBS hantar 15 belia sertai SSEAYP ke-48

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Seramai 15 belia dan seorang ketua delegasi akan mewakili Negara Brunei Darussalam untuk menyertai Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) ke-48 selama 38 hari bermula pada 4 November hingga 11 Disember di Tokyo, Jepun.

    Delegasi terdiri daripada belia berumur antara 18 hingga 33 tahun, termasuk Awang Mohammad Azid bin Haji Mohamed Sambas, selaku ketua belia dan Dayang Farah Naqibah binti Haji Abdul Rahim, selaku penolong.

    Sehubungan itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan pagi tadi mengadakan majlis penyerahan bendera negara kepada ketua delegasi di Bilik VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyempurnakan penyerahan bendera negara serta menyampaikan kata-kata semangat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Awang Mohammad Nabil bin Haji Roslan dan diikuti dengan ucapan oleh tetamu kehormat.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyerahkan bendera negara kepada ketua delegasi, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Tetamu kehormat dan TYT Maeda Toru bergambar ramai bersama belia yang menyertai SSEAYP ke-48. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Dalam ucapan Yang Berhormat Dato, difahamkan bahawa program itu merupakan inisiatif penting dalam membina rangkaian persahabatan antara belia serantau, yang mampu mengukuhkan perpaduan, keharmonian dan persefahaman di kalangan negara-negara Asia Tenggara dan Jepun.

    Yang Berhormat Dato menasihatkan sebagai peserta belia, para peserta semua adalah selaku pemimpin muda yang bakal membawa visi dan inspirasi untuk masa depan yang lebih baik, bukan sahaja bagi diri sendiri tetapi juga untuk negara.

    Dalam kesempatan ini, Yang Berhormat Dato ingin merakamkan ucapan tahniah kepada para peserta kerana terpilih untuk mewakili Negara Brunei Darussalam ke SSEAYP ke-48 sekali gus menggalas amanah sebagai duta kecil negara di peringkat serantau.

    Dalam ucapan Yang Berhormat Dato juga turut mengingatkan para peserta agar sentiasa menjaga nama baik dan kehormatan negara dengan memegang teguh prinsip Melayu Islam Beraja yang menjadi asas identiti bangsa Brunei.

    “Jangan sesekali dilupakan nilai-nilai agama Islam, adat budaya dan kesetiaan kepada raja yang menjadi lambang kestabilan dan kesejahteraan negara,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Seterusnya Yang Berhormat Dato juga berharap apabila para peserta kembali nanti ke tanah air membawa ilmu, kemahiran dan pengalaman yang berguna serta semangat yang lebih besar untuk menyumbang kepada kemajuan bangsa dan negara.

    Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera negara disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada Pegawai Belia dan Sukan, Syed Abdul Muiz bin Haji Syed Anayatullah Shah, selaku ketua delegasi negara dan diselajurkan dengan penyerahan tiket penerbangan kepada ketua delegasi yang diserahkan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru.

    Majlis turut menyaksikan bacaan ikrar daripada delegasi dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

    Sebanyak enam tajuk utama akan dibincangkan semasa program dijalankan nanti iaitu Soft Power and Youth People to People Diplomacy; Economic Growth and Sustainable Community; Global Environment and Climate Change; Disaster Risk Reduction and Recovery; Good Health and Well-being; dan Digital Society. Tema perbincangan tersebut dipilih daripada Implementation Plan of the Joint Vision Statement on ASEAN-Japan Friendship and Cooperation Trusted Partners yang diterima pakai dalam Sidang Kemuncak bagi Memperingati Ulang Tahun ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun pada 17 Disember 2023 di Tokyo, Jepun.

    Program itu antara lain bertujuan bagi mempromosikan lagi persahabatan dan persefahaman serta pertukaran belia antara Jepun dan negara-negara ASEAN khususnya Negara Brunei Darussalam.

    Di samping dijadikan sebagai platform untuk belia berkongsi ilmu pengetahuan dan peluang untuk menjalinkan kerjasama.

    Delegasi diharapkan dapat memupuk pemimpin generasi pelapis yang berkemampuan untuk menggunakan kemahiran kepimpinan dalam pelbagai bidang dalam masyarakat globalisasi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda