Friday, September 6, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Selatan lancar semula propaganda sasar Korea Utara

    SEOUL, 19 JULAI – Tentera Korea Selatan pada Jumaat mengumumkan bahawa mereka telah memulakan semula penyiaran propaganda melalui pembesar suara yang ditujukan kepada Korea Utara, sebagai tindak balas terhadap tindakan Pyongyang menghantar ratusan belon berisi sampah merentasi sempadan.

    Menurut kenyataan Ketua Staf Bersama Korea Selatan (JCS), Seoul telah mengesan kira-kira 200 belon berisi sampah dihantar oleh Korea Utara dari kelmarin hingga hari ini, menandakan pelancaran pusingan kelapan oleh kerajaan Kim Jong Un sejak akhir Mei.

    “Kami telah berulang kali dan tegas memberi amaran kepada Korea Utara mengenai pelepasan belon sampah yang berterusan ini,” kata JCS dalam kenyataan tersebut.

    “Berikutan amaran itu, tentera kami telah menjalankan penyiaran propaganda melalui pembesar suara ke arah Utara dari petang kelmarin hingga pagi tadi,” tambahnya.

    JCS juga menyatakan penyiaran tersebut disambung semula pada jam 4 petang (waktu tempatan) dan akan berterusan tanpa menyatakan tempoh tertentu.

    Kedua-dua Korea secara teknikal masih berperang disebabkan konflik 1950-53 berakhir dengan gencatan senjata, bukan perjanjian damai.

    Penyiaran propaganda melalui pembesar suara, yang bermula sejak Perang Korea, sering membangkitkan kemarahan Pyongyang, yang sebelum ini mengancam serangan artileri terhadap unit pembesar suara Seoul.

    Pelancaran belon oleh Korea Utara adalah ‘pelanggaran jelas terhadap perjanjian gencatan senjata dan merupakan tindakan memalukan dan membahayakan kehidupan harian rakyat kami,” kata JCS dalam satu lagi kenyataan. – AFP

    Askar tentera Korea Selatan meronda di sepanjang pagar kawat berduri di Paju, Korea Selatan, berhampiran sempadan dengan Korea Utara, pada 19 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda