Saturday, May 4, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Kukuh keupayaan pemimpin masyarakat

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Program Pemimpin Masyarakat bertujuan untuk mengukuhkan keupayaan pemimpin masyarakat dalam pengurangan risiko bencana ke arah membina masyarakat yang berdaya tahan bencana.

    “Matlamat ini mungkin nampak kecil akan tetapi Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) bercita-cita tinggi bagi memupuk kerjasama, kepimpinan dan kedayatahanan di peringkat akar umbi dalam pengurangan risiko bencana yang dihasrat akan dapat mewujudkan masyarakat yang lebih kuat dan berdaya tahan bencana.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah NDMC, Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi bin Haji Muhd Jamin dalam ucapannya pada Majlis Pembukaan Program Pemimpin Masyarakat yang berlangsung di Dewan Auditorium, CAE Brunei MPTC Rimba, hari ini.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah NDMC serta para pegawai kanan dan kakitangan dari pusat tersebut dan agensi-agensi berkenaan.

    Program disertai oleh kira-kira 30 orang peserta yang terdiri daripada penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung selaku pemimpin masyarakat atau pemimpin akar umbi di negara ini.

    Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi bergambar ramai bersama peserta Program Pemimpin Masyarakat pada majlis pembukaan, kelmarin. – GAMBAr OLEH SIM Y.H.

    Dalam ucapannya lagi, Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi berkata, melalui program itu, para peserta akan mengikuti bengkel pertukaran ilmu dan sesi dialog yang dihasratkan dapat membina perkongsian yang bermakna serta mencipta impak yang positif dan berterusan.

    “Saya berharap para peserta akan dapat merebut peluang yang diberikan dalam program ini dengan mengambil bahagian secara aktif, berkongsi pandangan dan pengalaman serta buah fikiran dan idea-idea yang bernas,” tambah beliau.

    Program Pemimpin Masyarakat merupakan salah satu inisiatif program bersama pemimpin masyarakat yang julung kali diadakan pada tahun ini oleh pihak NDMC, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dengan kerjasama agensi-agensi berkepentingan dalam pengurusan bencana.

    Sepanjang program itu dijalankan, para peserta akan mengikuti bengkel pertukaran ilmu dan sesi dialog dan berpeluang mendengar taklimat fungsi dan peranan agensi-agensi berkepentingan dalam pengurusan bencana termasuk NDMC, Jabatan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Jabatan Perkhidmatan Teknikal (Bahagian Kaji Tanah dan Kaji Selidik) Jabatan Kerja Raya serta Sekretariat Perubahan Iklim Brunei Darussalam.

    Selain itu, aktiviti berkumpulan dan pembentangan berkumpulan juga diadakan dan para peserta berpeluang untuk membahaskan tajuk dialog yang diberikan bersama ahli-ahli panel jemputan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...