Saturday, September 14, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 9,500 kotak jus epal ditarik balik

    WASHINGTON, 26 OGOS – Refresco Beverages US Inc menarik balik 9,535 kotak jus epal Great Value dalam botol lapan auns yang dijual di Walmart, lapor United Press International (UPI) memetik kenyataan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).

    FDA memaklumkan bahawa jus epal itu mengandungi tahap arsenik tak organik melebihi paras yang dibenarkan. Oleh itu, penarikan balik dikategorikan sebagai Kelas II.

    Klasifikasi Kelas II menunjukkan bahawa produk berkenaan mungkin menyebabkan kesan kesihatan yang sementara atau boleh dipulihkan dengan rawatan perubatan, walaupun risiko mendapat kesan kesihatan yang serius dianggap rendah.

    FDA menjelaskan bahawa arsenik tak organik lebih berbahaya berbanding arsenik organik, dengan pendedahan jangka panjang boleh menyebabkan gangguan kulit, meningkatkan risiko kanser kulit, pundi kencing dan paru-paru, serta penyakit kardiovaskular.

    Jus epal yang terlibat dalam penarikan balik ini dijual dalam pek enam botol dengan kod UPC 0-78742-29655-5 dan tarikh luput Disember 2024.

    FDA juga menerbitkan peta interaktif dalam talian yang menunjukkan negeri-negeri yang terkesan, kesemuanya terletak di sebelah timur Sungai Mississippi. – Bernama

    Seorang wanita menolak troli keluar dari pasar raya Walmart, pada 18 November 2020, di Derry, New Hampshire. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda