Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lestarikan budaya mentadabbur, tazkirah Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Dengan kelahiran ramai para huffaz atau penghafal Al-Quran di negara ini, khususnya dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), akan mampu menyebarluaskan lagi manfaat dan keberkatan Al-Quran melalui pembelajaran dan apa jua program mahupun aktiviti yang berkaitan dengan pengamalan bacaan Al-Quran, malahan isi kandungannya turut dihayati sebagai panduan gaya hidup utama.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda berkenaan semasa berangkat menyempurnakan penganugerahan Syahadah (Sijil) Diploma ‘Aliyah Qira’at kepada 20 graduan yang diraikan pada Majlis Haflut Takharruj ke-12 ITQSHHB di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Semasa bersabda, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota menegaskan, untuk mendapatkan penawar ataupun syifa’ daripada Al-Quran bukan setakat memperbanyakkan pembacaan, malahan melestarikan budaya mentadabbur dan tazkirah Al-Quran di masjid-masjid termasuk rumah, sekolah dan pejabat serta di mana-mana tempat yang bersesuaian Al-Quran dilantunkan.

    Ke arah mencapai hasrat tersebut, setiap individu Muslim perlu terlebih dahulu menguasai bacaan Al-Quran yang pra-syaratnya adalah kesediaan untuk mempelajari ilmu tajwid dan memperhalus sebutan makhraj dengan penuh teliti secara berperingkat dan berterusan.

    Melalui kaedah bacaan yang lancar, kedua-dua pembaca dan yang mendengarkan akan selanjutnya berupaya menghayati dan seterusnya mengundang keberkatan dan rahmat Allah kepada masyarakat dan negara yang kita sama-sama cintai.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bagi bergambar ramai bersama para graduan Haflut Takharruj ke-12 ITQSHHB. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota yakin di sinilah ruang kepada para graduan institut tahfiz untuk turut berperanan sebagai ejen yang menyambung perjuangan mulia Rasulullah SAW dalam menyebar luas syiar Islam serta bacaan Al-Quran yang menjurus kepada membantu masyarakat mengukuhkan pengisian kerohanian dan pengukuhan akidah.

    “Ini termasuk mengatasi apa jua masalah atau gejala yang berkaitan bersandarkan kepada panduan lengkap seperti terkandung dalam kitab suci Al-Quran.”

    Di samping itu, Duli Yang Teramat Mulia menyeru agar menjaga akhlak serta memelihara harga diri yang tinggi dengan berterusan beradab dengan adab-adab Al-Quran untuk menjurus kepada menzahirkan keperibadian seorang penghafal Kitabullah sebagai bentuk tanda pengagungan diri dan insani terhadap Kalamullah, iaitu Al-Quran Al-Karim.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota seterusnya bersabda, di sebalik pencapaian yang dikecapi ini sudah setentunya ada insan-insan mulia yang sentiasa berdiri teguh menyokong dan memberi semangat yang tidak putus-putus untuk setiap graduan.

    “Mereka adalah ibu bapa termasuk penjaga graduan, dan sekalung tahniah kepada mereka ini yang sentiasa mendoakan dan bersedia berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk bersama-sama menyumbang kepada kejayaan bermakna anak masing-masing.”

    Ucapan penghargaan juga ditujukan kepada para tenaga pengajar dan seluruh warga institut atas komitmen berterusan dalam mendidik dan membimbing para graduan, dan kepada Allah SWT jua dipanjatkan doa bagi sebaik-baik kurnia ganjaran terhadap semua yang terlibat yang menjadi asbab kejayaan para graduan.

    “Mereka yang menuntut ilmu di sini merupakan kalangan rakyat Brunei yang terpilih dan menjadi sebahagian aset yang amat berharga kepada pembangunan negara.

    “Setiap ilmu yang ditimba dan kemahiran yang diraih sepanjang pengajian akan memastikan tercapainya aspirasi negara khasnya bagi melengkapi mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran abad ke-21 yang bermanfaat duniawi dan ukhrawi,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda