Saturday, May 4, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Malaysia ada kelebihan di Piala Thomas – June Wei

    KUALA LUMPUR, 23 APRIL – Pemain profesional Malaysia, Cheam June Wei menyifatkan pasukan Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri pada pertarungan pusingan pertama bertemu Hong Kong pada kejohanan Piala Thomas 2024 yang akan bermula di Chengdu, China, Sabtu ini. 

    June Wei, 27, berkata kem latihan yang telah bermula di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara kira-kira tiga minggu lepas telah membantu pasukan dan dirinya, terutama dari segi semangat berpasukan. 

    Beliau yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara solo pada 2021 tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja untuk kembali menggunakan fasiliti lengkap disediakan badan induk itu. 

    “Malaysia mempunyai kelebihan jika dilihat dari segi kedudukan ranking, jadi terus fokus dan jangan terlalu banyak berfikir. Aktiviti dan suasana di ABM sangat positif.

    “Walaupun di bawah pengawasan Wong Choong Hann (bekas pengarah kejurulatihan perseorangan BAM yang kini menjadi jurulatih perseorangan lelaki Hong Kong), saya tidak fikir semangat berpasukan mereka lebih tinggi daripada kami kerana Malaysia dalam acara berpasukan sentiasa mempamerkan prestasi yang baik,” katanya kepada pemberita di ABM di sini hari ini. 

    Ditanya adakah beliau sudah bersedia untuk bertemu sama ada Chan Yin Chak (ranking ke-92 dunia) atau Jason Gunawan (ke-95), June Wei yang kini berada di kedudukan 63 dunia berkata beliau sedikit pun tidak gentar untuk bertemu mereka. 

    June Wei juga menyatakan bahawa mewakili Malaysia dalam kejohanan berpasukan mampu meningkatkan kerjaya mereka sebagai pemain profesional. 

    “Bagi kami, pemain profesional, bertanding di kejohanan utama dunia boleh menarik perhatian pihak penaja dan membolehkan kami meneruskan kerjaya,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...