Friday, May 17, 2024
28.7 C
Brunei

    -

    Masih kurang wanita pegang jawatan kanan penyunting

    KUALA LUMPUR – Satu laporan baharu mendapati kaum wanita masih diketepikan daripada memegang kuasa dalam industri media berita global.

    Berdasarkan laporan Institut Kajian Kewartawanan Reuters 2023, hanya 22 peratus daripada 180 editor kanan di 240 pertubuhan berita di seluruh dunia, terdiri daripada wanita di sebalik purata, 40 peratus wartawan dalam 12 pasaran yang dikaji adalah wanita.

    Sementara itu, di Malaysia, kekurangan wanita dalam jawatan kanan penyunting mencetuskan ‘kitaran toksik yang bagaikan tiada kesudahan dengan hanya beberapa mentor dalam bilik berita untuk pemimpin wanita masa depan’.

    Ini bersandarkan laporan media 2020 oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) Rantau Asia-Pasifik.

    Laporan berkenaan berdasarkan dapatan kajian ke atas 240 orang petugas media Malaysia mengenai keadaan tempat bekerja masing-masing, daripada soal gaji dan isu keselamatan sehingga kepada jaminan pekerjaan secara keseluruhan.

    Tehmina Kaoosji. –Gambar serahan Tehmina
    Boh Su Lyn mengatakan profesional media wanita terpaksa melalui perjalanan yang panjang sebelum kesaksamaan jantina untuk jawatan kanan penyunting dapat ditangani. –Gambar serahan Boh

    Antara hasil kajian, meskipun kaum wanita unggul dalam jawatan eksekutif serta pengurusan seperti ketua pegawai eksekutif, eksekutif dan pengurus besar, bagaimanapun, bilangan mereka dalam jawatan kanan editorial seperti pengarah, ketua biro dan pengarang tidak berapa memberangsangkan.

    Menurut kajian yang sama, sebanyak 83.3 peratus responden berkata, organisasi mereka mempunyai wanita menyandang peranan berjawatan tinggi namun nisbah wanita untuk jawatan kanan penyunting adalah rendah daripada lelaki.

    Kurangnya wakil wanita dalam jawatan penting penyunting dalam industri media juga menyebabkan isu berkait dengan hak wanita dan kesaksamaan jantina kurang diberi penekanan untuk dilaporkan.

    Wartawan penyiaran bebas Tehmina Kaoosji, yang berpangkalan di Malaysia, menekankan bahawa kepelbagaian jantina dalam jawatan editorial meningkat ‘sedikit’ dalam tempoh sedekad lepas.

    “Meskipun terdapat wanita dalam jawatan berkenaan, lazimnya mereka sering terbawa-bawa pemikiran sempit. Sekiranya mereka berusia lebih muda, terdapat kesedaran dan komitmen yang lebih terhadap kesaksamaan jantina dalam liputan berita,” beliau memberitahu Bernama baru-baru ini.

    Perubahan di bilik berita

    Ketua Pengarang portal kesihatan Galen Centre, CodeBlue, Boo Su-Lyn berpandangan, profesional media wanita terpaksa melalui perjalanan yang panjang sebelum kesaksamaan jantina untuk jawatan kanan penyunting dapat ditangani.

    “Keadaan yang sama juga untuk bidang lain. Wanita sering dilihat mempunyai komitmen keluarga yang lebih berbanding lelaki. Mereka mungkin tidak bersedia untuk menghabiskan lebih masa bagi karier mereka yang menghalang mereka daripada mendapat peluang untuk kenaikan pangkat.

    “Satu lagi cabaran ialah banyak bilik berita masih diketuai lelaki yang lebih berusia dan kekosongan hanya wujud selepas mereka bersara atau meletak jawatan. Ini membuatkan tidak banyak peluang untuk wartawan wanita yang lebih muda untuk menyerlah dan menyandang jawatan kepimpinan,” kata Boo.

    Mengenai program kepimpinan dan mentor untuk wanita di bilik berita, Tehmina berkata, ia adalah penting untuk memastikan wartawan wanita yang berkemampuan dan berbakat tidak dipinggirkan untuk kenaikan pangkat kerana sikap berat sebelah, secara sedar atau tidak.

    “Dalam hal ini, antara yang perlu ditangani ialah memastikan wartawan wanita yang juga ibu mempunyai akses yang mencukupi kepada penjagaan kanak-kanak yang diberi subsidi dan mampu bayar. Wartawan wanita dan lelaki yang juga ibu bapa mesti dibenarkan masa bekerja yang fleksibel supaya mereka sama-sama boleh menyumbang untuk menjaga anak masing-masing,” katanya.

    Menurut Tehmina, bilik berita Malaysia juga perlu mempunyai lebih ramai copy editor yang sensitif kepada kesaksamaan jantina bagi memastikan kitaran berita harian tidak ada unsur stereotaip seksis, menggunakan bahasa yang berkecuali jantina dan membuat liputan berita am dengan berpandukan prinsip kesaksamaan jantina.

    “Mereka juga perlu menyediakan latihan serta bengkel kesedaran yang kerap untuk semua peringkat kakitangan, termasuk C-suite (pengurus peringkat eksekutif), dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) organisasi dan pengurusan untuk mengesan kemajuan di tempat kerja tanpa sebarang isu diskriminasi di bilik berita dan juga berita yang adil, beretika serta sensitif kepada jantina,” tambahnya.

    Suara wanita kurang diwakili

    Laporan 2020 bertajuk “The Missing Perspectives of Women in News”, yang disediakan bagi pihak Yayasan Bill & Melinda Gates mendapati, suara wanita terus kurang diwakili dalam media berita global.

    Menurut laporan berkenaan, lebih daripada 70 peratus orang yang dipetik sebagai sumber dan mendapat tempat dalam laporan berita adalah lelaki sementara wanita, kurang daripada 30 peratus.

    Boo berkata, salah satu sebab mengapa wanita kurang diwakili dalam jawatan kanan penyunting kerana kaum lelaki masih majoriti pakar serta sumber yang dipetik oleh media.

    “Pembuat berita (sumber) kebanyakannya lelaki seperti ahli politik dan penggubal undang-undang dan mereka ini dipetik dalam laporan politik. Ini bermakna laporan berita cenderung memfokus kepada lelaki, yang mengakibatkan kaum lelaki terlalu banyak dipampangkan dalam media,” katanya.

    Keselamatan wartawan wanita

    Di sebalik cabaran dalam bidang kewartawanan, terdapat beberapa orang wartawan wanita Malaysia yang berjaya meningkat dan seorang daripadanya, Salbiah Said, 70, bekas timbalan ketua pengarang Perkhidmatan Ekonomi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

    Beliau berkhidmat selama 32 tahun dengan Bernama sebelum bersara wajib pada 1 Mac, 2011.

    Menurut wartawan veteran ini, angkatan wartawan wanita yang mula-mula menceburi bidang ini menunjukkan kemampuan yang mantap, setanding dengan wartawan lelaki dalam bidang kewartawanan.

    “Sewaktu zaman saya, sekitar tahun 1980an, memang terdapat ramai pemberita wanita dan kalau diikutkan bilangan wanita bekerja sebagai pemberita adalah lebih ramai daripada penyunting kanan.

    “Bagaimanapun, keadaan pada hari ini menunjukkan perubahan positif dengan ramai juga wanita memegang jawatan kanan penyunting. Pada masa ini, kita boleh lihat wartawan wanita pantas meningkat dalam menyandang jawatan kanan penyunting,” katanya.

    Salbiah berkata, di Bernama, atas sikap pengurusan atasan yang memandang ke depan, ramai wartawan wanita meningkat dalam karier mereka dengan memegang jawatan kanan di Jabatan Pengarang Bernama.

    Beliau berkata, keganasan berasaskan jantina yang mengancam wartawan wanita menandakan ada stigmatisasi, ucapan berbaur kebencian dan seksis, trolling, serangan fizikal, rogol dan juga malahan pembunuhan.

    “Gangguan seksual, bagaimanapun, secara tradisinya tidak dilihat sebagai keganasan berdasarkan jantina, tetapi masih wujud dalam industri. Malangnya, kebanyakan insiden ini tidak dilaporkan.

    “Sebagai wartawan, seseorang itu perlu berani, tabah dan bangga dengan bidang yang diseburinya. Sepanjang karier saya, banyak pahit maung yang saya lalui, tetapi alhamdulillah, saya berjaya melaluinya dan menjadikan saya lebih kuat untuk melaksanakan tugas saya,” katanya.

    Pengarah eksekutif Pusat untuk Wartawan Bebas (CIJ) Wathshlah Naidu berkata, pihaknya menyediakan garis panduan untuk menangani isu kesaksamaan jantina daam organisasi media di samping untuk keselamatan wartawan wanita di tempat kerja pada setiap masa.

    “Memandangkan kerja wartawan pada kebanyakan masa adalah di lapangan, amalan kesihatan dan keselamatan pekerjaan mungkin sering terjejas.

    “Wartawan wanita perlu mengharungi pelbagai kebimbangan fizikal, mental serta digital seperti menangani gangguan, cubaan seksual serta keganasan berdasarkan jantina dalam talian ketika bekerja,” beliau memberitahu Bernama dan wawanca menerusi emel. –Bernama

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    12 terbunuh dipancar kilat di India

    NEW DELHI, 17 MEI - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan beberapa lagi mangsa cedera, kelmarin akibat dipanah petir di Bengal Barat, di timur India,...