VIENNA, 28 NOV – Mesyuarat Menteri-menteri OPEC+ yang pada asalnya dijadualkan pada Ahad telah ditunda ke 5 Disember, menurut Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang berpusat di Vienna, hari ini.
Kumpulan OPEC+ yang terdiri daripada 22 negara dan dipimpin oleh Arab Saudi serta Rusia pada mulanya dijangka membincangkan dasar pengeluaran mereka untuk tahun 2025 di tengah-tengah penurunan harga minyak mentah.
Menurut kenyataan OPEC, mesyuarat itu telah ‘dijadualkan semula ke 5 Disember 2024, kerana beberapa menteri akan menghadiri Sidang Kemuncak Teluk ke-45 di Bandar Kuwait.’
Dalam beberapa hari sejak kebelankangan ini, harga minyak mendapat sokongan daripada prospek bahawa negara-negara utama OPEC+ akan menangguhkan penambahan pengeluaran yang sepatutnya bermula pada Januari.
Untuk meningkatkan harga minyak mentah, lapan negara anggota kumpulan OPEC+ pada awal bulan ini mengumumkan mereka akan melanjutkan pemotongan bekalan hingga akhir Disember.
Negara-negara tersebut “telah bersetuju untuk melanjutkan penyesuaian pengeluaran sukarela November 2023 sebanyak 2.2 juta tong sehari selama sebulan sehingga akhir Disember 2024,” kata OPEC dalam satu kenyataan.
Lapan negara yang melanjutkan pemotongan tersebut ialah Arab Saudi, Rusia, Algeria, Iraq, Kazakhstan, Kuwait, Oman dan Emiriah Arab Bersatu.
Mereka telah menangguhkan pertambahan pengeluaran berikutan kebimbangan mengenai permintaan yang lembap, yang telah memberi kesan kepada harga minyak dalam beberapa bulan kebelakangan ini. – AFP