Friday, September 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meta keluarkan amaran cubaan penggodaman dalam kempen p’raya

    WASHINGTON, 25 OGOS – Meta, syarikat induk WhatsApp, baru-baru ini telah mengingatkan kempen presiden Amerika Syarikat (AS) supaya berwaspada selepas mengesan cubaan penggodaman yang dikaitkan dengan Iran menggunakan perkhidmatan pesanan WhatsApp.

    Amaran itu adalah yang terbaharu dikeluarkan oleh syarikat teknologi menjelang pilihan raya presiden AS antara Naib Presiden Kamala Harris dan bekas presiden Donald Trump, selepas Google dan Microsoft turut mengesan cubaan serupa yang didakwa dilakukan oleh pihak berkaitan Iran.

    Meta melaporkan bahawa akaun WhatsApp yang dikaitkan dengan ‘ancaman’ dari Iran menghantar mesej yang menyamar sebagai sokongan teknikal untuk perkhidmatan seperti AOL, Google, Yahoo dan Microsoft.

    “Kegiatan itu bermula dari Iran dan menyasarkan individu di Israel, Palestin, Iran, AS dan United Kingdom,” kata Meta dalam satu kenyataan.

    Meta turut menyatakan bahawa cubaan itu tertumpu kepada pegawai politik dan diplomatik serta tokoh awam, termasuk mereka yang mempunyai kaitan dengan pentadbiran Presiden, Joe Biden dan bekas Presiden, Donald Trump.

    Akaun yang terbabit dalam apa yang kelihatan sebagai ‘kejuruteraan sosial’ – memperdayakan individu untuk memberikan akses kepada rangkaian atau data penting – telah disekat, tambah Meta.

    Hasil siasatan menunjukkan cubaan tersebut dilakukan oleh kumpulan penggodam sama yang bertanggungjawab ke atas serangan serupa yang disasarkan terhadap pegawai politik, ketenteraan, diplomatik dan lain-lain, seperti yang dilaporkan oleh Microsoft dan Google.

    “Memandangkan ancaman yang semakin meningkat menjelang pilihan raya AS, kami turut berkongsi maklumat tentang kegiatan ini dengan pihak berkuasa penguat kuasa undang-undang dan kempen presiden untuk memastikan mereka sentiasa berwaspada terhadap potensi serangan,” kata Meta. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda