Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meteor kecil terangi malam di Filipina

    MANILA, 5 SEPT – Sebuah meteor yang kecil menerangi langit di utara Filipina awal hari ini ketika ia terbakar semasa memasuki atmosfera bumi, menurut Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan saksi.

    Batuan angkasa lepas setinggi satu meter, yang dinamakan 2024 RW1 itu menghentam atmosfera Bumi sejurus selepas tengah malam dan menyebabkan ‘bola api yang tidak berbahaya tetapi menakjubkan’ di atas pulau Luzon, Filipina, kata ESA.

    Meteor tersebut, yang ditemui melalui Catalina Sky Survey, adalah meteor kesembilan yang pernah dilihat oleh manusia sebelum impak.

    Ahli perniagaan berusia 28 tahun, Allan Madelar memberitahu AFP dia menunggu selama satu jam di Gonzaga, sebuah daerah di Luzon, untuk menyaksikan meteor itu bersama seorang rakan.

    “Ia sangat memukau, warnanya cantik. Langit berubah daripada hitam kepada biru-hijau kepada jingga dan hitam semula,” katanya.

    Klip video yang dimuat naik di Facebook dan disahkan oleh AFP itu menunjukkan bola api berekor jingga yang menerangi langit malam di Luzon.

    Audie de la Cruz, 65, memasang kameranya di atas jambatan di bandar Tuguegarao, 142 kilometer di selatan Gonzaga, untuk merakam fenomena langit itu tetapi bola api tersebut terpadam sebelum dia sempat menekan butang pengatup.

    “Ia seperti berudu dengan kepala yang sangat besar, dan kepalanya sangat terang,” kata de la Cruz kepada AFP.

    “Saya mungkin gagal merakamnya tetapi melihatnya adalah pengalaman yang pasti tidak dapat dilupakan.” – AFP

    Foto daripada video menunjukkan 2024 RW1 dilihat di atas kampung Progressive, Gonzaga, wilayah Cagayan, Filipina, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda