Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Minecraft: Revolusi dunia maya

    PARIS – Sejak versi pertama Minecraft dilancarkan kepada umum 15 tahun lalu, permainan dunia binaan blok itu telah menjadi fenomena global.

    Para pemain dari pelbagai usia dan latar belakang telah menggunakan permainan itu untuk segala-galanya, sama ada dari projek pendidikan dan seni bina hingga membangunkan sebuah komuniti dan mencipta karya seni.

    Dengan lebih daripada 300 juta salinan terjual, ia kini merupakan sebuah permainan video terlaris sepanjang masa.

    Baru-baru ini AFP telah menemu bual empat pemain Minecraft tentang bagaimana permainan itu memberi kesan kepada kerja dan kehidupan mereka seharian:

    PEMPENGARUH PERMAINAN VIDEO: YANG JI-YEONG

    Yang Ji-yeong merupakan salah seorang pempengaruh permainan Korea Selatan yang paling terkenal sejak sedekad lalu, dengan menarik jutaan penonton di pelbagai platform penstriman termasuk YouTube. Daya tarikan utamanya termasuk video bermain Minecraft.

    Orang ramai ketika cuba memakai gogal Oculus semasa mereka menguji Minecraft yang dilengkapi dengan Gear VR pada acara demonstrasi di ruang acara The Village di San Francisco, California. – AFP
    Beberapa pemain semasa menghadiri pameran Microsoft Xbox, leka dengan permainan Minecraft di pusat Konvensyen Los Angeles. – AFP
    Sidang media Xbox E3 2016 Microsoft yang berlangsung di Pusat Galen di Los Angeles, California. – AFP
    Seorang pengunjung pameran berkenaan sibuk mengambil gambar tanda di pintu masuk acara demonstrasi bagi Minecraft for Gear VR, di San Francisco, California. – AFP

    “Saya rasa aset terbesar Minecraft ialah kebebasan tulen yang ditawarkannya. Ia tidak mempunyai set peraturan dan objektif yang tetap, sebaliknya memberi kebebasan kepada para pemain untuk bermain mengikut cara mereka sendiri,” kata Yang, 34, kepada AFP.

    Penstriman Yang, pada mulanya hanya disiarkan sekali pada hujung minggu, menjadi sangat popular sehingga dia mampu berhenti kerja dan menumpukan sepenuh masa kepada penstriman, katanya kepada agensi berita, Yonhap pada 2016.

    Hari ini, Yang berkata, Minecraft terus menawarkan cara baru untuk berhubung dengan orang ramai. “Saya baru-baru ini diundang untuk bermain di server asing dan saya terkejut apabila mendapati saya boleh bermain, berinteraksi dan berkomunikasi dengan pemain dari bahagian dunia tanpa berkongsi bahasa atau budaya yang sama,” katanya.

    PELAJAR: RAPHAEL MESBAH

    Penduduk kelahiran Paris, Raphael Mesbah, mengatakan dia mula bermain permainan Minecraft ketika berusia lima atau enam tahun. Kira-kira 15 tahun kemudian, dia kini seorang pelajar perubatan dan masih setia kepada permainan itu.

    “Minecraft seperti kehidupan kedua,” kata Mesbah, 20, kepada AFP. Pada tahun 2022, Mesbah memutuskan untuk memulakan projek besar iaitu membina sistem metro Paris, satu demi satu, dalam Minecraft.

    Pelan besar itu memerlukan bantuan, dan Mesbah menemukannya di Grindr. Membina komuniti pemain Minecraft melalui aplikasi temu janji, dia telah berjaya menyelesaikan tiga landasan bawah tanah setakat ini.

    “Ia adalah permainan yang mudah dan tidak mahal, ramai orang dari generasi saya sudah mempunyai akaun,” katanya kepada AFP.

    “Ia adalah permainan yang paling saya minati sehingga kini,” tambahnya.

    PERPUSTAKAAN MAYA

    Minecraft menawarkan kanvas besar kepada pemainnya untuk membina dunia dan untuk meneroka, di mana ramai pemain telah membina segala-galanya dari rumah fantasi hingga replika terperinci struktur dunia nyata seperti lapangan terbang. Reporters Without Borders (RSF) menunjukkan bagaimana permainan itu dapat membantu memerangi penapisan di bahagian dunia di mana akses kepada maklumat sangat dikawal atau bahkan diharamkan.

    Organisasi bukan kerajaan itu membuka sebuah perpustakaan yang dikenali sebagai The Uncensored Library dalam Minecraft pada 12 Mac 2020, mengandungi tulisan-tulisan yang diharamkan dari wartawan di lebih daripada tujuh negara, termasuk Rusia, Iran, dan Arab Saudi.

    “Semua platform dalam talian adalah saluran yang membolehkan penapisan dielakkan,” kata Vincent Berthier, pengurus teknologi di RSF, kepada AFP.

    “Minecraft, yang mempunyai kuasa besar, masih tidak disedari,” katanya.

    “Minecraft atau Fortnite tentu saja adalah permainan video, tetapi ia juga membantu orang ramai berkomunikasi dan bertukar-tukar pandangan,” tambahnya.

    Dibina dengan lebih daripada 12.5 juta blok oleh studio reka bentuk terkenal antarabangsa, Blockworks, perpustakaan itu dikemas kini secara berkala oleh pasukan RSF. Hampir 25 juta orang dari 160 negara telah melawat perpustakaan itu sejak ia dibina, menurut organisasi tersebut.

    GURU SEKOLAH: GRAHAM WARDEN

    Apabila Graham Warden menjadi guru sekolah di Texas, Amerika Syarikat, dia mendapati Minecraft adalah ‘sebahagian besar’ daripada kehidupan pelajar. Lelaki berusia 32 tahun itu memberitahu AFP struktur permainan itu menyediakan alat berguna untuk pembelajaran dan penyelesaian masalah kerana para pemain ‘berfikir dengan cara yang berbeza’ semasa mereka memanipulasi objek dan persekitaran dalam Minecraft.

    “Ini adalah semua perkara yang kita tidak dapat lakukan dalam kehidupan nyata dan jadi keupayaan untuk mengubah persekitaran mental menjadikannya alat yang hebat untuk pelbagai perkara, termasuk pembelajaran,” katanya.

    Warden berkata Minecraft juga telah menjadi cara untuknya berhubung dengan orang lain.

    “Baru-baru ini, apabila saya mendapati bahawa saya autistik, saya perlu mencari cara untuk berhubung dengan cara yang berbeza, kerana saya tidak pernah benar-benar merasakan bahawa saya berhubung dengan sesiapa,” katanya.

    “Saya bertemu dengan sekumpulan orang yang menggunakan Minecraft sebagai alat untuk membentuk sebuah komuniti dengan melakukan tugas berulang seperti melombong dalam permainan, boleh memberikan monotoni yang diperlukan untuk menginspirasi perbualan, walaupun kedengaran pelik,” ujarnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda