Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pegawai anti-doping uji pemain sudah meninggal dunia

    OSLO, 5 SEPT – Apabila pegawai ujian antidadah hadir di pangkalan latihan Norway menjelang aksi pembukaan Liga Negara-negara menentang Kazakhstan dan mengemukakan senarai pemain yang mahu diuji mereka, kakitangan kejurulatihan menyangka ia satu gurauan.

    “Kami terpaksa menghubungi Anti-doping Norway dan bertanya kepada mereka, ‘Adakah ini kamera tersembunyi atau apa?” beritahu ketua jurulatih Stale Solbakken pada sidang akhbar semalam.

    Solbakken tidak kisah dengan empat daripada enam nama dalam senarai itu – Erling Haaland, Jorgen Strand Larsen, Antonio Nusa dan Oscar Bobb semuanya berada dalam skuad, sekalipun Bobb kini tidak beraksi kerana kecederaan.

    Namun dua lagi nama mencuri tumpuan – Einar Gundersen dan Jorgen Juve – pemain yang hebat tetapi kedua-duanya sudah meninggal dunia beberapa dekad lalu.

    Dilahirkan pada tahun 1896, Gundersen menjaringkan 26 gol dalam 33 penampilan antarabangsa dan penjaring ketiga terbanyak Norway sepanjang zaman. Namun dia meninggal dunia pada 1962.

    Gambar Freepik

    Juve 10 tahun lebih muda berbandingnya. Dia memenangi pingat emas pada temasya Olimpik 1936, mengalahkan Jerman di depan Adolf Hitler dan meledak 33 gol dalam 45 penampilan antarabangsa, menjadikannya penjaring gol terbanyak, dua gol di depan Haaland. Juve meninggal dunia pada 1983.

    Pegawai anti-doping Norway gagal menjelaskan apa yang menyebabkan kekeliruan itu.

    “Sukar untuk menjelaskan apa yang berlaku, tetapi biasanya kami melakukan tugas dengan tepat,” kata Pengarah Komunikasi Halvor Byfuglien kepada akhbar VG.

    “Apa yang boleh kami lakukan sekarang adalah mengakui kesilapan kami. Kami boleh ketawa mengenainya di pejabat hari ini dan kemudian menyemak semula rutin bagi tugasan akan datang.”

    Norway bertandang ke Kazakhstan malam esok sebelum menerima kunjungan Austria tiga hari kemudian. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda