Friday, September 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pegawai tertinggi China disiasat atas dakwaan rasuah

    BEIJING, 19 JULAI – Seorang pegawai tertinggi dalam Pasukan Roket China kini disiasat atas tuduhan rasuah, menurut laporan media kerajaan, menandakan tindakan keras terhadap dakwaan rasuah dalam tentera negara itu.

    Sun Jinming telah dipecat daripada Parti pemerintah Komunis dan sedang disiasat atas ‘pelanggaran serius disiplin parti dan undang-undang’, lapor agensi berita rasmi Xinhua, kelmarin, menggunakan eufemisme biasa untuk merujuk kepada rasuah.

    Berita itu diumumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena berakhirnya Sidang Kemuncak Ketiga Parti Komunis, yang bermula pada Isnin dan berakhir semalam.

    Beijing kelmarin mengesahkan bahawa bekas komander Pasukan Roket Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), Li Yuchao, telah dipecat daripada parti dan dituduh melakukan ‘pelanggaran serius disiplin’.

    Kenyataan tersebut menandakan kali pertama siasatan terhadap Sun, yang dilantik sebagai ketua staf PLA pada 2022, diumumkan kepada orang awam.

    Presiden China, Xi Jinping, telah melancarkan kempen membanteras rasuah yang agresif dan meluas sejak beliau berkuasa.

    Pada tahun lalu, kempen tersebut telah memberi tumpuan kepada Pasukan Roket, unit tentera yang mengawasi senjata nuklear Beijing.

    Ketua unit tersebut, Li Yuchao, telah digantikan pada Julai lalu. Li Shangfu juga dipecat tahun lalu selepas hanya tujuh bulan berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan selepas lenyap dari pandangan umum. Beliau kemudiannya dipecat daripada Parti Komunis kerana menyebabkan ‘kerosakan besar kepada perjuangan parti’ melalui kesalahan termasuk kes rasuah. – AFP

    Gambar Xinhua

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda