Thursday, May 2, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Permulaan goyah buat The Reds

    LONDON, 7 OGOS – Jurgen Klopp mengakui bahawa Liverpool selayaknya tidak membawa pulang sebarang mata selepas terikat seri 2-2 menentang Fulham dalam permulaan goyah di saingan Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

    Aleksander Mitrovic dua kali menembusi gawang Liverpool dan meletakkan pasukannya di hadapan, namun Darwin Nunez yang keluar dari bangku simpanan membuat impak besar dalam penampilan sulung di Liga Perdana. Penyerang Uruguay, yang tiba di Anfield dalam perjanjian yang boleh meningkat kepada 100 juta euro dari Benfica, menyumbat gol penyamaan 1-1 dan membantu Mohamed Salah menjaringkan gol penyelamat ketika perlawanan berbaki 10 minit.

    Liverpool memulakan musim ini dengan cemerlang selepas menewaskan Manchester City di Piala Perisai Komuniti.

    Walau bagaimanapun, The Reds dihukum atas persembahan kurang meyakinkan dan mungkin terlepas meraih dua mata.

    “Perkara terbaik mengenai perlawanan ini adalah keputusan akhir,” kata Klopp. “Kami berjaya mendapat satu mata daripada perlawanan yang sangat teruk.

    “Keputusan ini tiada masalah, tetapi saya merasakan kami tidak layak menerimanya.

    “Persembahan kami boleh diperbaiki lagi.”

    Mitrovic menjaringkan 43 gol musim lalu ketika Fulham merampas kejuaraan di Liga Kejohanan dan memberikan Liverpool amaran awal pada minit-minit awal perlawanan.
    Pasukan bimbingan Klopp dihukum pada minit ke-32 apabila Mitrovic berjaya menewaskan Trent Alexander-Arnold untuk menanduk masuk bola ke gawang hasil hantaran lintang Kenny Tete.

    “Kami menghormati Liverpool tetapi kami sudah tentu ingin meraih kemenangan,” kata pengurus Fulham, Marco Silva.

    “Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama, hampir sempurna dan berjaya mengawal dan menghalang lawan. Pada separuh masa kedua, kami menandangi mereka.” – AFP

    Aksi penyerang Liverpool, Darwin Nunez melakukan tandukan semasa pertemuan menentang Fulham, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...