Friday, November 1, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Petros peruntuk perbelanjaan modal RM40 bilion

    KUCHING, 31 OKT – Petros, syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri Sarawak, memperuntukkan kira-kira RM40 bilion untuk perbelanjaan modal bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Pengerusinya, Tan Sri Hamid Bugo.

    Beliau berkata syarikat itu mencatatkan hasil berjumlah RM4 bilion tahun lalu dan angka tersebut diunjurkan meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

    “Petros kini menyertai 19 kontrak perkongsian pengeluaran secara kerjasama dengan pemain utama minyak dari beberapa negara dan ini juga dijangka turut berkembang,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam ulang tahun ke-7 Petros, di Kuching, semalam.

    Turut hadir Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Hamid berkata sejak dilancarkan pada 7 Ogos 2017, Petros telah berkembang sebagai pemain bersepadu, aktif menyertai seluruh rantaian nilai minyak dan gas, menyelaras usaha untuk memperkasa pembangunan ekonomi sosial di Sarawak.

    Beliau berkata di bawah pelan hala tuju gasnya, Petros sedang membangunkan empat hab strategik di Kuching, Miri, Bintulu dan Similaju, dengan potensi pelaburan sebanyak RM100 bilion bagi tempoh beberapa tahun akan datang, dan bersama-sama Petronas, menjadi pengedar tunggal gas petroleum cecair di Sarawak. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda