Monday, September 23, 2024
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rahm tarik diri daripada Kejohanan Golf LIV

    WASHINGTON, 22 SEPT – Juara dua kali kejohanan utama, Jon Rahm terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Golf Berpasukan LIV kelmarin kerana mengalami gejala selesema yang teruk.

    Rahm, kapten pasukan Legion XIII, digantikan oleh pemain Amerika Syarikat (AS), John Catlin dalam perlawanan tersebut.

    Rahm, yang dinobatkan sebagai juara individu LIV Golf setelah menyertai siri yang disokong oleh Saudi pada Disember lalu, telah memimpin pasukannya ke separuh akhir menentang pasukan Phil Mickelson, HyFlyers.

    “Jon mengalami gejala selesema teruk sejak beberapa hari lalu,” kata pasukannya di platform X.

    “Demi pasukan dan atas nasihat pasukan perubatannya, dia tidak akan beraksi hujung minggu ini.”

    Catlin, dari kumpulan pemain simpanan LIV, menggantikan Rahm dalam perlawanan separuh akhir perseorangan menentang Cameron Tringale dari HyFlyers di Kelab Golf Maridoe, Dallas.

    Rahm, pemain golf Sepanyol berusia 29 tahun, memenangi kejohanan di Chicago minggu lepas untuk menjulang piala juara keseluruhan LIV individu.

    Rahm, yang pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik PGA pada tahun 2021, telah merangkul gelaran utama pada Kejohanan Terbuka AS 2021 dan Masters 2023.

    Catlin memenangi kejohanan Jelajah Asia di Macau dan Riyadh tahun ini dan membuat lima penampilan sebagai pengganti dalam acara LIV sepanjang musim 2024. – AFP

    Reaksi Jon Rahm pada hari terakhir acara Siri Jemputan Golf LIV di Kelab Golf dan Desa JCB di Rocester pada 28 Julai lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda