Thursday, May 2, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Sarawak rancang bina kompleks astronomi

    KUCHING, 19 JULAI – Sebuah kompleks astronomi akan dibangunkan di kawasan Pantai Damai dekat sini sebagai satu lagi langkah kerajaan Sarawak mempromosi ilmu falak dan kajian galaksi dalam kalangan generasi muda negeri.

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kompleks ini akan menjadi projek astronomi ketiga di bawah Jabatan Mufti Sarawak setelah sebuah pusat falak di Miri siap pada Julai tahun lepas dan sebuah lagi di Bintulu yang dijangka siap tidak lama lagi.

    “Ini akan membolehkan kita untuk mempelajari ilmu falak dan mengkaji galaksi kerana hari ini kita nampak bahawa ilmu astronomi sangat penting dalam dunia digital sekarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Fatwa Negeri Sarawak di sini hari ini.

    Seminar anjuran Jabatan Mufti Sarawak itu turut dihadiri Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Abdul Rahman Junaidi dan Mufti Negeri, Datuk Kipli Yassin.

    Selain menjadi sebagai pusat untuk menimba ilmu, Abang Johari berkata kompleks yang dirancang di Pantai Damai yang merupakan salah sebuah kawasan ekopelancongan Sarawak itu akan juga dapat menggalakkan pelancongan muslim.

    Abang Johari berkata komitmen kerajaan Sarawak dalam menggalakkan minat dalam ilmu astronomi ini turut tersirat dalam Kanun Tanah Negeri yang dipinda baru-baru ini yang meletakkan ruang angkasa negeri di bawah bidang kuasanya.

    Pewujudan pusat-pusat astronomi ini turut disokong beberapa universiti yang beroperasi di Sarawak hasil perbincangan mereka bersama Jabatan Mufti Sarawak, selain menjadikan bidang astronomi sebagai sebahagian daripada program pengajian yang ditawarkan universiti-universiti berkenaan. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kiri) melihat ‘Deep Sky Telescope’ milik Jabatan Mufti Negeri ketika melawat pameran selepas merasmikan Seminar Fatwa kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...