Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saya bukan mati lagi, ‘tarik’ sikit saja – Sathia

    Susulan diserang penyakit angin ahmar buat kali kedua pada 16 Julai lalu, pelawak veteran Sathia sudah tidak boleh memandu kereta sekiranya hendak ke mana-mana.

    Sathia atau Sathia Periasamy, 60, sebaliknya memberitahu dia kini lebih banyak menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk bergerak kerana ia lebih selamat berbanding memandu seorang diri.

    “Selepas kena serangan angin ahmar baru-baru ini saya sudah tak boleh memandu. Sekarang kalau nak ke mana-mana saya akan naik Grab,” katanya kepada mStar.

    Sathia berkongsi perkara itu ketika ditemui di program Afyaa Dari Poket Artis ke Poket Artis yang diadakan di Shah Alam pada Khamis.

    Walaupun tidak sampai sebulan terkena serangan tersebut, Sathia bagaimanapun tidak berasa bimbang kerana menyifatkan semua yang berlaku adalah atas kehendak Tuhan. Bagi Sathia, masalah kesihatan dihidapinya hanya dugaan kecil dan keadaannya semakin pulih.

    “Saya tak risau kalau kena lagi sebab apa yang jadi akan tetap berlaku. Saya okay sahaja sebab apa juga yang berlaku adalah dengan izin Tuhan. Saya bukan mati lagi, ‘tarik’ sikit sahaja,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Sathia memberitahu punca dia terkena strok adalah disebabkan faktor usia yang semakin meningkat. Kata Sathia, ketika ini dia lebih banyak berehat dan makan ubat diberikan doktor kepadanya.

    “Punca sebab faktor usia. Saya sudah tua. Doktor cuma suruh makan ubat sahaja. Makan pun tiada pantang larang, apa saja boleh makan,” ujarnya.

    Sementara itu, pelawak yang popular menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu terharu apabila ramai rakan seperjuangan bertanya khabar apabila mendapat tahu tentangnya. Sathia memberitahu dia juga tidak memerlukan bantuan kewangan sebaliknya masih ada sumber pendapatan bagi menampung keluarga.

    “Abon, Azlee Senario dan ramai lagi kawan bertanya khabar tapi waktu itu anak saya tolong jawab panggilan telefon. Saya bukan perlukan bantuan kewangan, syukur saya ada sedikit wang dan masih ada kudrat mencari rezeki. Wang banyak-banyak pun tiada guna, sudah memadai sekadar mencukupi,” katanya. – Agensi

    Sathia memberitahu dia kini sudah tidak boleh memandu kereta. – mstar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda