Friday, November 1, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sesi meja bulat bincang perihal insurans, simpanan persaraan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Bagi membincangkan mengenai isu insurans dan simpanan persaraan di rantau Asia, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Institut Bank Pembangunan Asia (ADBI) dan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (OJK) telah menganjurkan sesi persidangan meja bulat yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia selama dua hari bermula kelmarin hingga hari ini.

    Hadir selaku wakil Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Brunei Darussalam ialah Pengarah Urusan Tabung Amanah Pekerja (TAP), Haji Mohd Adfarul bin Haji Maz Adanan, sebagai salah seorang ahli panel dalam sesi Tour de table: Funded Pension Markets and Regulatory Developments in Asia.

    Dalam sesi ini, beliau telah mengongsikan perkembangan mengenai dasar dana persaraan yang memfokuskan kepada Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) yang telah dilancarkan pada 15 Julai 2023.

    Persidangan meja bulat tahunan ini berfungsi sebagai platform bagi pertukaran maklumat mengenai perkembangan utama dan cabaran yang dihadapi dalam pasaran insurans dan persaraan di Asia, serta untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik mengenai isu-isu dasar dalam kalangan pembuat dasar, pengawal selia dan peserta sektor swasta.

    Persidangan pada tahun ini memfokuskan kepada sumbangan sektor insurans dalam ketahanan iklim dan penyesuaian sebagai tindak balas terhadap implikasi perubahan iklim di seluruh modal perniagaan sektor insurans, serta impak penggunaan alat digital bagi meningkatkan keberkesanan sistem simpanan persaraan dan skim-skim berpencen. Pihak berkuasa dasar dan pengawal selia turut berpeluang untuk membincangkan isu cabaran dan risiko yang dihadapi dalam skim berpencen dan sama-sama berkongsi pengalaman bagi menangani isu-isu yang telah dibangkitkan.

    Antara ahli panel yang turut mengongsikan perkembangan di negara masing-masing berkenaan topik sesi kali ini adalah dari negara Bangladesh, Pakistan dan Vietnam.

    Haji Mohd Adfarul semasa menyertai sesi berkenaan sebagai salah seorang ahli panel. – GAMBAR SERAHAN TAP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda