Saturday, November 9, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sumatra Utara digesa kekalkan pasaran pelancongan dari Malaysia, Singapura – Asita

    MEDAN, 11 SEPT – Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Indonesia (Asita) Sumatra Utara, Solahuddin Nasution, menggesa Kerajaan wilayah Sumatra Utara untuk mengekalkan pasaran pelancongan dari Malaysia dan Singapura.

    “Pelancong Malaysia adalah kumpulan terbesar yang melawat Sumatra Utara, diikuti Singapura. Pasaran ini mesti dikekalkan untuk kelestariannya,” katanya di Medan pada kelmarin.

    Antara Januari dan Julai 2023, sebanyak 112,427 pelancong asing melawat Sumatra Utara, dengan 49,010 adalah dari Malaysia dan 5,824 dari Singapura, lapor Agensi Berita ANTARA.

    Beliau menyuarakan harapan agar kerajaan tempatan khususnya Jabatan Kebudayaan, Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (Disbudparekraf) aktif menjalin kerjasama dengan pihak berkepentingan pelancongan dari kedua-dua negara itu.

    Selain itu, beliau mengesyorkan Disbudparekraf untuk turut mengambil bahagian dalam acara pelancongan di negara jiran secara berkala.

    Beliau menyebut bahawa di Malaysia dan Singapura, terdapat pameran pelancongan antarabangsa yang boleh disertai seperti MATTA Fair (Malaysian Association Tour and Travel Agents) dan Internationale Tourismus-Borse (ITB) di Singapura.

    Dengan usaha berterusan untuk mengekalkan hubungan baik dengan pasaran sedia ada serta sentiasa mencari pasaran baharu, beliau optimis dalam peningkatan jumlah pelancong asing yang melawat Sumatra Utara. – Bernama

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda