Friday, November 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tahun ini dijangka terpanas dalam sejarah

    BRUSSELS, 7 NOV – Tahun ini hampir pasti akan menjadi tahun paling panas dalam sejarah, dengan suhu global dijangka melebihi 1.5 darjah Celsius, menurut pemantau iklim Kesatuan Eropah (EU), Copernicus, hari ini, hanya beberapa hari sebelum negara-negara bersidang dalam rundingan iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Azerbaijan.

    Agensi Eropah itu menyatakan bahawa dunia kini sedang melangkah ke ‘tahap baharu’ dalam rekod suhu, yang seharusnya mempercepatkan usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam rundingan PBB yang dijadualkan berlangsung di Azerbaijan minggu hadapan.

    Bulan lalu, yang dicatatkan dengan banjir dahsyat di Sepanyol dan Taufan Milton di Amerika Syarikat, adalah Oktober kedua terpanas dalam sejarah, dengan suhu global purata yang hanya sedikit lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.

    Copernicus turut menjangkakan bahawa 2024 akan mencatatkan suhu lebih 1.55 darjah Celsius di atas purata tempoh 1850-1900 sebelum era penggunaan bahan api fosil secara besar-besaran bermula.

    Bagaimanapun, ini tidak dianggap sebagai pelanggaran Perjanjian Paris, yang bertujuan mengehadkan pemanasan global di bawah 2 darjah Celsius dan sebaik-baiknya 1.5 darjah Celsius, kerana sasaran tersebut diukur berdasarkan purata tempoh beberapa dekad, bukan tahun tertentu.

    “Tahun 2024 hampir pasti akan menjadi tahun paling panas yang pernah direkodkan dan merupakan tahun pertama dengan suhu melebihi 1.5 darjah Celsius berbanding paras pra-industri,” kata Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S), Samantha Burgess.

    “Ini menandakan tahap baru dalam rekod suhu global dan seharusnya menjadi pemangkin untuk meningkatkan komitmen dalam Persidangan Perubahan Iklim COP29 yang akan datang,” tambahnya. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda