Thursday, May 2, 2024
26.9 C
Brunei

    -

    Tentera siasat kaitan kanser dengan silo nuklear

    WASHINGTON, 23 JAN — Sembilan pegawai tentera yang telah bekerja berpuluh-puluh tahun lalu di pangkalan peluru berpandu nuklear di Montana telah didiagnosis dengan kanser darah dan terdapat ‘petunjuk’ penyakit itu mungkin dikaitkan dengan perkhidmatan mereka di sana, menurut slaid taklimat tentera yang diperoleh oleh The Associated Press (AP). Salah seorang pegawai telah meninggal dunia.

    Semua pegawai, yang dikenali sebagai ‘missileers’, telah ditugaskan sejak 25 tahun lalu di Pangkalan Tentera Udara Malmstrom, rumah kepada 150 Minuteman III silo peluru berpandu balistik antara benua. Sembilan pegawai berkenaan disahkan menghidap limfoma non-Hodgkin, menurut taklimat oleh Pasukan Angkasa Amerika Syarikat, Lt. Kol. Daniel Sebeck baru-baru ini.

    ‘Missileers’ menaiki lif berkurung jauh di bawah tanah ke dalam kubu operasi kecil yang dikelilingi dinding konkrit dan keluli yang tebal. Kadang-kadang, mereka tinggal di sana selama beberapa hari, bersedia untuk menghidupkan kunci pelancaran jika diarahkan oleh presiden.

    “Terdapat tanda-tanda kebarangkalian hubungan antara kanser dan perkhidmatan kru tempur peluru berpandu di Malmstrom AFB,” kata Sebeck dalam slaid yang dibentangkan kepada unit Angkatan Angkasa beliau bulan ini. “Bilangan ‘missileers’ yang menghidap kanser, khususnya limfoma adalah membimbangkan,” katanya.

    Sebeck enggan mengulas apabila dihubungi melalui e-mel oleh AP baru-baru ini. Dalam slaid itu, beliau berkata isu itu penting kepada Angkatan Angkasa kerana sebanyak 455 bekas ‘missileers’ kini berkhidmat sebagai pegawai Angkatan Angkasa, termasuk sekurang-kurangnya empat daripada sembilan yang dikenal pasti dalam slaid.

    Dalam satu kenyataan kepada AP, jurucakap Tentera Udara, Ann Stefanek berkata bahawa “Pemimpin kanan menyedari kebimbangan yang dibangkitkan tentang kebarangkalian hubungan antara kanser dan anggota kru tempur peluru berpandu di Malmstrom AFB.

    “Maklumat dalam taklimat ini telah dikongsi dengan pakar bedah am Jabatan Tentera Udara dan pegawai perubatan profesional kami sedang berusaha untuk mengumpul data dan memahami lebih lanjut,” tambahnya. – AP

    Gambar fail bertarikh 25 Jun 2014 menunjukkan peluru berpandu Minuteman III dalam tiub pelancaran dilihat semasa sesi latihan di Pangkalan Tentera Udara Minot, North Dakota. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jeremiah Manele dipilih sebagai PM baharu Kepulauan Solomon

    HONIARA, 2 MEI - Menteri Luar Jeremiah Manele dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Kepulauan Solomon oleh ahli Parlimen negara itu pada Khamis, umum Gabenor...