Friday, September 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga dipenjara kerana ceroboh, curi

    Oleh Nour Maghfirah –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Mahkamah Perantaraan kelmarin menjatuhkan hukuman penjara ke atas tiga orang lelaki tempatan kerana melakukan pencerobohan dan pencurian di kawasan perumahan di Daerah Tutong.

    Hakim Harnita Zelda Skinner menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan enam bulan ke atas Mohamaad Taqiyuddin bin Awang Taha, 38 dan Mohamad Ezuzuan bin Kesah, 42.

    Sementara itu, Mohammad Roslan bin Kesah, 38, dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

    Menurut pendakwa raya Abdul Musawwir bin Haji Mahli dan Aeny Zullizam, kejadian itu berlaku pada Jun lalu.

    Ketiga-tiga mereka, bujang dan menganggur, telah memikirkan rancangan untuk melakukan pencurian di sebuah rumah di Kampung Penabai, Daerah Tutong. Rancangan itu diatur semasa me-reka berkumpul di rumah rakan di kampung yang sama.

    Gambar Envato

    Mahkamah mendengar bahawa pada malam kejadian, antara jam 11 malam dan 6 pagi, ketiga-tiga defendan berjalan melalui kawasan hutan dan memasuki halaman rumah mangsa melalui pagar yang roboh dan memasuki rumah itu melalui pintu belakang.

    Setelah memasuki rumah itu, mereka menggeledah premis itu untuk mencari barang berharga. Mohamaad Taqiyuddin mencuri mesin pemotong rumput dari ruang tamu, manakala Mohamad Ezuzuan mengambil kotak yang mengandungi PlayStation 2 dan 44 permainan CD dari bahagian dapur.

    Barangan yang dicuri itu dibawa pulang ke rumah rakan mereka, di mana Mohamaad Taqiyuddin tinggal, dengan Mohammad Roslan membantu mengangkut mesin pemotong rumput itu.

    Perbuatan mereka terbongkar pada 3 Julai apabila pemilik rumah mengunjungi kediamannya itu dan menyedari ia telah digeledah. Setelah mengesyaki berlakunya kegiatan pecah masuk, dia membuat laporan polis.

    Siasatan membawa kepada penahanan tiga orang lelaki itu. Semasa disoal siasat, Mohamaad Taqiyuddin dan Mohamad Ezuzuan mengaku terlibat dalam kecurian itu manakala Mohammad Roslan mengakui peranannya membantu membawa barang curi tersebut. Barang-barang yang dicuri berjaya ditemui polis.

    Di mahkamah, didedahkan bahawa Mohamaad Taqiyuddin dan Mohamad Ezuzuan masing-masing pernah disabitkan dengan rekod kesalahan berkaitan harta benda sejak 2003, 2013, 2016 dan 2019.

    Mohammad Roslan bagaimanapun tidak pernah disabitkan kesalahan.

    Hukuman-hukuman itu dijatuhkan sebagai langkah pencegah terhadap aktiviti jenayah masa depan, menggambarkan keseriusan jenayah yang dilakukan oleh ketiga-tiga mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda