Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Tiga orang suspek iaitu dua wanita dan seorang lelaki warga asing telah ditahan oleh Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam satu serbuan baru-baru ini.
Wanita berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti menawarkan khidmat seks manakala lelaki itu disyaki bertindak sebagai bapa ayam kepada wanita-wanita tersebut.
Serbuan yang dijalankan pada 29 Oktober itu menyasarkan sebuah hotel penginapan di kawasan Gadong.
Semasa serbuan, turut ditemui di tempat kejadian bahan-bahan bukti seperti telefon bimbit, mata wang Brunei dan asing yang dianggarkan berjumlah $500, kondom dan minyak pelincir dipercayai digunakan untuk tujuan aktiviti tidak bermoral.
Kesemua suspek telah dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah dan disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22b dan Seksyen 3(1)(a) Perlindungan Perempuan-perempuan dan Gadis-gadis Penggal 120 iaitu kesalahan menjual perempuan untuk pelacuran.
Pihak polis ingin menyarankan kepada orang ramai agar bekerjasama dan memberikan apa jua maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta melalui e-mel laman sesawang PPDB www.polis.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb.