Penyanyi Amsyar Leee pernah tular dalam media sosial kerana kemahirannya dalam meniru suara ramai artis popular.
Namun, di sebalik kemahiran itu, ada juga yang memberikan komen mengenai ton suaranya.
Masih menerima kritikan sama, Amsyar atau nama sebenarnya, Muhammad Amid Syafiq Mohd Sadri berkata, dia tidak kisah orang melemparkan komen negatif kerana ton suaranya sebagai satu keunikan kurniaan Allah, lapor BH Online.
“Ya, masih lagi menerima kritikan dan saya tak anggap ia adalah satu perkara negatif.
“Ramai kenal saya menerusi suara sebegini. Bila sudah ada lagu sendiri, suara ini masih dikekalkan. Saya okay sahaja biar apapun orang nak kata.
“Saya tahu bila taip nama saya dalam Google akan keluar carian nama yang dikatakan tiada identiti dan sebagainya.
“Bagi saya, tak boleh terima muzik dari sudut pandangan kita sahaja. Muzik adalah universal dan saya cuba membawakan suatu yang berbeza dalam industri di Malaysia.
“Lagu dihasilkan semuanya mengeluarkan teknik saya sendiri dan bukan teknik orang lain,” katanya. – Agensi