Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tsitsipas, Auger-Aliassime mara pusingan kedua di Rotterdam

    ROTTERDAM, BELANDA, 15 FEB – Pemain pilihan utama, Stefanos Tsitsipas dan juara bertahan, Felix Auger-Aliassime dengan mudah layak ke pusingan kedua kejohanan ATP 500 Rotterdam kelmarin.

    Tsitsipas, yang ditewaskan dalam perlawanan akhir Terbuka Australia kepada Novak Djokovic, hanya mengambil masa lebih satu jam setengah untuk menewaskan pemain Finland, Emil Ruusuvuori 7-5, 6-1.

    Pemain Greece itu, yang menduduki tempat ketiga dunia, seterusnya berdepan pemenang perlawanan yang berlangsung hari ini, antara Jannik Sinner dan pemain Perancis, Benjamin Bonzi.

    Tsitsipas mengakui dia pada mulanya bergelut untuk mencari rentak.

    “Saya mendapat peluang dalam perlawanan terakhir apabila Ruusu-vuori mendahului 5-3 untuk kembali. Saya bangkit semula dengan aksi yang hebat dan saya merampas semula set pertama yang sangat penting itu,” katanya.

    “Saya fikir sejak itu dan seterusnya ia adalah perlawanan tenis yang sempurna. Saya dapat menghasilkan beberapa pukulan yang sangat bagus.”

    Auger-Aliassime, pemain pilihan ketiga di Rotterdam, tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Lorenzo Sonego dari Itali 6-2, 6-3 ketika dia mencapai kejayaan dalam kejohanan di mana dia menewaskan Tsitsipas pada aksi final tahun lepas.

    Pada pusingan seterusnya, pemain Kanada berusia 22 tahun itu mesti mengatasi seorang lagi pemain Perancis, Gregoire Barrere, yang menyingkirkan David Goffin pada pusingan pertama. – AFP

    Aksi Stefanos Tsitsipas semasa perlawanan kejohanan tenis Terbuka ATP Rotterdam di Rotterdam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda