Thursday, September 19, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    UiTM sedia bantu bangun ekosistem perkasa STEM

    PASIR SALAK – Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersedia membantu kerajaan Malaysia membangunkan ekosistem berorientasikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menjadi antara komponen penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara itu.

    Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata bagi memastikan aspirasi itu direalisasikan, aspek inovasi dan penyelidikan perlu diberikan tumpuan kerana akan melahirkan lebih ramai pakar serta tenaga mahir dalam bidang berkenaan.

    “Buat masa ini, kita masih kekurangan tenaga mahir, pakar dan penyelidik tempatan walaupun diketahui bahawa STEM bidang yang agak kritikal.

    “Untuk memastikan bidang ini terus berkembang dan mencapai sasaran maka ia perlu bermula daripada usia awal selain memerlukan bimbingan pelbagai pihak,” katanya ketika ditemui Bernama pada sidang media di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) UiTM Kampung Gajah di sini hari ini.

    Shahrin berkata penganjuran Pertandingan Roket Malaysia 2024 (MRC 2024) antara inisiatif yang digerakkan bagi memupuk minat golongan belia terutama pelajar universiti serta sekolah menengah mengenai kepentingan bidang STEM ini.

    Ketua Pasukan, Profesor Madya Dr Syed Mohd Fairuz Syed Mohd Dardin bersama para pelajarnya bergambar dengan roket setinggi 1.5 meter yang dinamakan sebagai 4 KRAM pada MRC 2024 di ILD UiTM Kampung Gajah baru-baru ini. – Bernama
    Zuraidah menunjukkan komponen roket pada sidang media MRC 2024 di ILD UiTM Kampung Gajah pada 5 September. – Bernama

    “Tujuan kita (anjur) bukan sekadar mencari siapa menang atau kalah sebaliknya kita mahu mereka memahami bidang ini dengan lebih khusus dan secara sukarela,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah MRC 2024, Profesor Madya Dr Zuraidah Salleh berkata seramai 43 pasukan menyertai MRC 2024 terdiri dalam kalangan pelajar universiti dan sekolah menengah.

    Beliau berkata pertandingan yang berlangsung dari 3 hingga 5 September itu turut menampilkan tiga kategori iaitu roket satu kilometer, Can-Size Satellite dan Can-Size SatelliteR.

    “Penganjuran kali ini juga agak menarik kerana turut melibatkan penyertaan dari Indonesia, Singapura dan India.

    “Kita harap dengan sambutan yang agak meriah ini maka program sama boleh dianjurkan semula pada tahun hadapan sama ada di Perak mahupun di negeri lain,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda