Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    WHO seru China beri lebih banyak data masalah pernafasan

    BEIJING, 23 NOV – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru China untuk memberikan lebih banyak data mengenai penyakit pernafasan yang merebak di utara negara itu, menggesa orang ramai mengambil langkah untuk mengurangkan risiko jangkitan.

    Wilayah Utara China telah melaporkan peningkatan dalam penyakit seperti influenza sejak pertengahan Oktober jika dibandingkan dengan tempoh yang sama dalam tiga tahun sebelumnya, kata WHO.

    “WHO telah membuat permintaan rasmi kepada China untuk memberikan maklumat terperinci mengenai peningkatan penyakit pernafasan dan melaporkan kelompok radang paru-paru pada kanak-kanak,” kata badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan kelmarin.

    Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China memberitahu pemberita minggu lalu bahawa peningkatan penyakit pernafasan adalah disebabkan penarikan sekatan COVID-19 dan peredaran patogen yang diketahui iaitu influenza dan jangkitan bakteria biasa yang menjejaskan kanak-kanak, termasuk mikoplasma pneumonia.

    Ibu negara China, Beijing, yang terletak di utara negara itu, kini mengalami cuaca sejuk, dengan jangkaan suhu akan merudum ke paras jauh di bawah sifar menjelang Jumaat, kata media kerajaan.

    Bandar itu telah ‘memasuki musim penyakit berjangkit pernafasan yang tinggi’, Wang Quanyi, timbalan pengarah dan ketua pakar epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Beijing, memberitahu media kerajaan.

    Beijing ‘pada masa ini menunjukkan trend pelbagai patogen yang wujud bersama’, tambahnya.

    Wartawan AFP melihat ramai ibu bapa dan kanak-kanak berpakaian musim sejuk di Hospital Kanak-Kanak Institut Pediatrik Beijing hari ini,

    Seorang ibu yang bernama Zhang menemani anak lelakinya yang berusia sembilan tahun yang batuk dan mengatakan anaknya jatuh sakit dengan mikoplasma pneumonia iaitu sejenis patogen yang boleh menyebabkan tekak sakit, keletihan dan demam. – AFP

    Kanak-kanak menerima suntikan di hospital kanak-kanak di Beijing kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda