Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    112 pasukan bakal berentap dalam kejohanan dart

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Satu sidang media Kejohanan Dart Beregu Lelaki Terbuka Borneo 2024 telah diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, kelmarin.

    Kejohanan yang dianjurkan oleh Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama Persatuan Dart Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan disokong oleh imagine Sdn Bhd dan Hotel Lanes itu akan diadakan pada 9 hingga 11 Ogos ini.

    Kejohanan itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemain Negara Brunei Darussalam selain memperkenalkan sukan dart ke arah disiplin yang teratur serta memajukan sukan tersebut di negara ini. Di samping itu, ia juga bertujuan menarik pelancong dan pemain luar negara khususnya dari Kepulauan Borneo.

    Dalam sidang media berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri, menyampaikan penera-ngan mengenai kejohanan berkenaan.

    Beliau berkata sebanyak 112 pasukan yang terdiri daripada 96 pasukan dari dalam negara dan 16 pasukan dari luar negara khususnya dari Sabah dan Sarawak telah mendaftar untuk menyertai kejohanan tersebut.

    Hadiah wang tunai terkumpul berjumlah $14,700 telah disediakan untuk dimenangi para pasukan. Pemenang pertama akan membawa pulang wang tunai $5,000 yang merupakan hadiah wang tunai terbesar setakat ini bagi kejohanan dart di peringkat serantau berserta piala dan pingat.

    Manakala naib juara akan menerima $3,000 berserta piala dan pingat dan pemenang ketiga akan menerima $1,000 berserta piala dan pingat.

    Dalam kesempatan ini, Awang Mohammad Sofian mengucapkan selamat bertanding kepada semua pasukan dengan semangat kesukanan yang tinggi dan beliau menyeru semua peserta supaya bersatu hati dalam sama-sama meningkatkan mutu sukan di negara ini khususnya sukan dart.

    “Jika kejohanan itu berjalan dengan lancar dengan sokongan semua pihak, insya Allah kejohanan sedemikian akan diteruskan setiap tahun sebagai salah satu acara sukan terbesar yang akan mengambil tempat di Daerah Tutong,” katanya.

    Awang Mohammad Sofian menyampaikan penerangan semasa sidang media berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda