Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    20 pelajar sertai Majlis Khatam Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) petang kelmarin mengadakan Majlis Khatam Hafaz 30 Juz Al-Quran untuk 20 orang graduan Diploma ‘Aliyah Qiraat sesi pengajian 2021-2024 di Musolla, Kampus Kekal ITQSHHB, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan.

    Hadir selaku tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Ra’es Kolej Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani selaku Ahli Lembaga ITQSHHB.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat majlis, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para graduan Diploma ‘Aliyah Qiraat dipimpin oleh Awang Muhammad Azib bin Muhammad Azim dan diteruskan dengan bacaan takhtim oleh pelajar-pelajar menengah ITQSHHB. Kemudiannya, Doa Khatam dibacakan oleh salah seorang bakal graduan Diploma ‘Aliyah Qiraat ITQSHHB, Awang Mohammad Syabil bin Shahram.

    Majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban oleh peserta-peserta takhtim dan diikuti dengan penyampaian sijil khatam hafaz oleh tetamu kehormat majlis. Seterusnya, bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah.

    Bagi memberkati majlis, bacaan Doa Selamat dan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Awang Muhammad Norsolihin Mirza bin Haji Awang Mohd Taha.

    Majlis Khatam Hafaz 30 Juz Al-Quran graduan Diploma ‘Aliyah sesi pengajian 2021-2024 itu merupakan salah satu acara iringan bersempena Haflut Takharruj ke-12 ITQSHHB.

    Turut hadir, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementrian Hal Ehwal Ugama, Haji Hardifadillah bin Haji Mohd Salleh, selaku Pengerusi Jawatankuasa Akademik dan Peperiksaan ITQSHHB. Juga hadir, para pegawai kanan, pegawai, pensyarah, dan jemputan khas, serta guru-guru dan ibu bapa para bakal graduan Program Diploma ‘Aliyah Qiraat yang diraikan.

    Profesor Madya Dr Abdul Nasir hadir selaku tetamu kehormat semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Peserta yang menyertai Khatam Al-Quran. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda