Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Seramai orang 23 peserta dari 11 buah negara SEAMEO iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam menyertai program latihan serantau mengenai Penilaian Berasaskan Kompetensi dalam TVET yang berlangsung secara dalam talian selama lima hari bermula kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian kursus berkenaan ialah Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Awang Alias bin Haji Abu Bakar.
Turut hadir ialah pengurus hal ehwal korporat merangkap pakar TVET dan penyelaras kursus, Dayang Cynthia Abdullah, bersama pihak pengurusan dan pegawai SEAMEO VOCTECH yang lain.
Dalam mengiktiraf kepentingan memperoleh kecekapan dalam dunia kerja kontemporari yang dicirikan dengan perubahan teknologi yang pesat, Awang Alias dalam ucapannya menyentuh mengenai The Australia Skills Quality Authority.
Autoriti itu menggambarkan penilaian sebagai “proses mengumpul bukti dan membuat pertimbangan sama ada kecekapan telah dicapai untuk mengesahkan bahawa seseorang itu boleh mencapai standard yang diharapkan di tempat kerja, seperti yang dinyatakan dalam pakej latihan atau kursus bertauliah VET”.
Dengan pemahaman itu, beliau memberi jaminan kepada peserta bahawa pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada latihan itu boleh digunakan untuk menambah baik pelaksanaan aktiviti pengajaran masing-masing dan penilaian hasil pembelajaran, dan sebagai sumber bukti sama ada seseorang pelajar itu telah mencapai kecekapan atau tidak dalam melaksanakan tugas dalam sesuatu perdagangan atau profesion.
“Program latihan serantau akan memberi para peserta pengetahuan, kemahiran dan sikap dalam melaksanakan proses penilaian berasaskan kompetensi menggunakan alat pengumpulan bukti dan mengiktiraf pembelajaran terdahulu dan kecekapan semasa,” tambah beliau.
Selain itu, para peserta akan diberi peluang untuk memahami sepenuhnya dan mencari idea dan inovasi baharu tentang penilaian kecekapan dalam pendidikan dan latihan, yang seterusnya akan membantu para peserta membawa penambahbaikan kepada sekolah atau kolej mereka, serta kepada pelajar mereka, ujar beliau lagi.
