Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    42 graduan libatkan diri dalam program sivik

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Untuk memberikan kefahaman dan maklumat terkini mengenai hal ehwal negara dan kerajaan, Program Sivik Negara Brunei Darussalam Kali Kedua bagi Tahun 2023/2024 sedang diadakan selama lima hari bermula hari ini hingga 15 Ogos nanti.

    Program tersebut yang dikendalikan oleh Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri disertai oleh 42 peserta.

    Peserta tersebut terdiri daripada graduan yang telah menjalani pengajian tinggi di dalam negara seperti Universiti Teknologi Brunei, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali; dan juga graduan dari luar negara yang telah menjalani pengajian tinggi di Mesir, Malaysia dan United Kingdom.

    Program juga turut disertai oleh siswazah-siswazah dari Universiti Brunei Darussalam, penuntut dari Politeknik Brunei yang menjalani penempatan kerja di Jabatan Penerangan; serta pegawai-pegawai Jabatan Penerangan.

    Antara objektif program tersebut diadakan ialah untuk memupuk dan menanam semangat kenegaraan yang berteraskan falsafah negara Melayu Islam Beraja (MIB).

    Dayang Siti Bismi Nuruliman semasa menyampaikan ucapannya. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Antara peserta yang menyertai Program Sivik Negara Brunei Darussalam Kali Kedua bagi Tahun 2023/2024. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis pembukaannya yang diadakan di Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.

    Dayang Siti Bismi Nuruliman dalam ucapannya menjelaskan bahawa program tersebut adalah salah satu strategi kerja bersemuka yang dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan, yang bukan sahaja untuk menyalurkan maklumat rasmi kepada para pesertanya, malahan juga menjadi satu wadah percambahan fikiran untuk para peserta yang amnya terdiri daripada golongan belia negara.

    Ia juga dihasratkan dapat memperkukuhkan lagi jati diri serta daya saing para peserta dalam zaman yang penuh cabaran ini.

    Dalam mendukung hasrat pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035, Jabatan Penerangan sebagai salah sebuah jentera kerajaan akan sentiasa menilai dan meneliti kesesuaian program-program yang dilaksanakan di sepanjang tahun.

    Setakat ini, pelbagai usaha telah diungkayahkan dalam meningkatkan lagi kerjasama antara agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam menyediakan satu program yang memberikan impak yang signifikan dan bermanfaat untuk para peserta semua.

    Dalam masa yang sama, program berkenaan juga bermanfaat untuk jabatan dalam mengenalpasti hasrat dan cita-cita para belia untuk negara.

    Menurut beliau lagi, sebagai generasi penyambung serta rakyat dan penduduk di negara ini, kita semuanya mempunyai tanggungjawab untuk menanai kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran negara yang telah lama dinikmati.

    Kita juga perlu menanamkan rasa syukur atas kemudahan-kemudahan termasuk pendidikan yang disediakan oleh pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Sepanjang program itu diadakan, para peserta akan didedahkan kepada beberapa siri taklimat dan lawatan sambil belajar melibatkan agensi-agensi kerajaan, serta perusahaan kecil dan sederhana.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda