Thursday, May 2, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    65 atlet negara sertai Sukan SEA ke-32

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Seramai 65 orang atlet Negara Brunei Darussalam akan berlepas ke Kemboja bagi menyertai Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-32, Kemboja 2023 yang akan berlangsung pada 5 hingga 17 Mei depan.

    Pada temasya sukan kali ini, sebanyak 12 acara sukan akan disertai negara daripada 37 sukan dipertandingkan, iaitu acara akuatik, renang, olahraga, badminton, billiard & snooker, e-sukan, lawan pedang, karatedo, lumba berhalangan, pencak silat, petanque, angkat berat dan juga wusyu.

    Perkara tersebut antara yang disembahkan oleh Setiausaha Tetap (Kesukanan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud semasa Sidang Media Sukan SEA ke-32, 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat At-Taufik, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) di sini.

    Berkenan berangkat ke sidang media tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah , Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC).

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan berangkat ke Sidang Media Sukan SEA ke-32, bertempat di Bilik Mesyuarat At-Taufik, KKBS kelmarin.
    Pengiran Mohd Amirrizal ketika menyampaikan sembah alu-aluan semasa sidang media bertempat di Bilik Mesyuarat At-Taufik, Bangunan KKBS kelmarin.

    Pengiran Mohd Amirrizal seterusnya menyembahkan bahawa kontinjen Negara Brunei Darussalam secara keseluruhannya berjumlah 100 orang terdiri daripada 65 atlet serta 35 pegawai termasuk chef de mission, penolong chef de mission, ketua urusetia, pegawai urusetia, pegawai perhubungan, pengurus pasukan, jurulatih dan pegawai, doktor, fisioterapi dan pegawai perubatan.

    Pemangku Pengarah Bahagian Pembangunan Belia dan Sukan, KKBS, Dayang Zainab binti Haji Morshidi merupakan chef de mission kontinjen manakala penolong chef de mission ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.

    Jelasnya lagi, terdapat lima kluster kawasan digunakan semasa temasya sukan itu nanti.

    Lima kluster tersebut merujuk kepada bandar yang akan terlibat dalam mengendalikan pertandingan di sekitar Kemboja iaitu Phnom Penh, Siam Reap, Sihanoukville, Prek Kompot dan Kep. Ia akan menyaksikan 51 cabang sukan dan 581 acara sukan dipertandingkan nanti.

    Ia juga merupakan kali pertama Kemboja menganjurkan Sukan SEA dan edisi ke-32 ini, tuan rumah iaitu Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) selaku pengelola memperkenalkan slogan Sports Live in Peace dan memaparkan logo yang mengambil inspirasi sejarah dan warisan kerajaan Kemboja iaitu Angkor Wat.

    Negara Brunei Darussalam mula mengikuti Sukan SEA pada tahun 1977 dan pencapaian terbaik adalah semasa negara menjadi tuan rumah pada tahun 1999 dengan meraih empat pingat emas, 12 pingat perak dan 32 pingat gangsa.

    Di kejohanan Sukan SEA ke-31 di Hanoi Vietnam 2021, negara telah mengutip satu pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa. Dua sukan yang menyumbang pingat adalah sukan wusyu dan pencak silat.

    Kontinjen negara dijangka bertolak ke Phnom Penh, Kemboja secara berperingkat bermula pada hujung bulan ini manakala Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Kontinjen Negara pula akan diadakan pada 1 Mei depan.

    Sehubungan itu, orang ramai juga dialu-alukan untuk memberikan sokongan kepada kontinjen negara dalam menyertai kejohanan sukan yang berprestij di rantau ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...