Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    670 graduan diraikan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen UTB ke-12, bagi meraikan seramai 670 orang graduan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin.

    Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UTB.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan dan Pengerusi Majlis UTB, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Pendaftar dan Setiausaha UTB, Lim Chui Hua.

    Majlis Konvokesyen UTB 2024 dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Majlis diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran iaitu Surah Al-An’am, ayat 161 hingga 165 oleh graduan Sarjana Sains (Secara Penyelidikan) dalam Sains Makanan dan Teknologi, Hajah Wafiqah binti Haji Daim, manakala, inti sari ayat dibacakan oleh graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam Kejuruteraan Mekanikal, Dayang Evy Surya Farhana binti Haji Ali-Bolkiah.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) menerima junjung ziarah daripada ahli keluarga para graduan semasa berkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen UTB ke-12, bagi meraikan seramai 670 graduan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan beramah mesra bersama para graduan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung bergambar ramai bersama graduan dan dan ahli keluarga mereka. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra bersama para graduan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung berswafoto bersama para graduan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Para graduan yang diraikan bergambar ramai dengan sijil masing-masing. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dalam sembah alu-aluannya antara lain mengongsikan, salah seorang penerima Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Awam secara Kerja Kursus, Lim Siew Yong, berumur 80 tahun, telah membuktikan pembelajaran sepanjang hayat mengambil tempat di dalam kehidupan individu.

    Daripada jumlah graduan yang diraikan, 11 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, sembilan graduan Ijazah Sarjana secara Penyelidikan, 103 graduan Ijazah Sarjana secara Kerja Kursus dan 547 graduan Ijazah Sarjana Muda.

    Jumlah penerima pada tahun ini meningkat, jelasnya, dan ini kerana Program Ijazah Sarjana Muda tiga Tahun akan menerima sijil mereka buat julung kalinya, di mana 310 penerima adalah daripada program tiga tahun dan 237 penerima daripada program empat tahun.

    “Penganugerahan 15 Program Ijazah Sarjana Muda yang baharu, diharapkan boleh memenuhi keperluan pasaran pekerjaan sebagai mana yang dihasratkan,” tambahnya.
    Sementara itu, dalam mendukung hasrat visi untuk menjadi sebuah Universiti Global Masa Depan, UTB terus berusaha mengembangkan portfolio antarabangsanya melalui kerjasama global yang strategik.

    Ini termasuk keahlian dalam konsortium antarabangsa, penyertaan aktif dalam rangkaian akademik, program pertukaran staf dan pelajar, serta penganjuran persidangan bersama universiti luar yang berprestij.

    Sembahnya lagi, “Transformasi Pemasaran Digital turut menjadi salah satu elemen utama dalam memperkukuh keterlihatan UTB di persada dunia, selaras dengan aspirasi global UTB.

    “Penekanan terhadap penonjolan jenama global bukan sahaja bertujuan untuk menarik pelajar dan staf akademik antarabangsa, malah ia juga untuk memperkayakan persekitaran kampus dengan kepelbagaian budaya, pengalaman pembelajaran dan pemikiran inovatif melalui penyelidikan dalam kalangan warga UTB,” jelasnya.

    Setakat ini, UTB telah melahirkan seramai 5,141 graduan Diploma Tertinggi Kebangsaan BDTVEC, 295 graduan Diploma Tertinggi Kebangsaan Tahap Lima, 3,364 graduan Ijazah Sarjana Muda, 626 graduan Ijazah Sarjana dan 32 gra-duan Ijazah Doktor Falsafah.

    Konvokesyen tahun ini amat bermakna kerana ia menandakan pengijazahan kohort terakhir daripada program empat tahun dan kohort pertama daripada struktur program tiga tahun yang baharu diperkenalkan, yang telah berjaya dilaksanakan oleh UTB kecuali Fakulti Kejuruteraan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda