Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    8 maut dalam nahas kapal kargo

    KAVALA, GREECE, 17 JULAI – Kesemua lapan kakitangan pesawat kargo yang terhempas berdekatan dengan bandar Kavala di Greece maut dalam nahas tersebut, kata menteri pertahanan Serbia hari ini.

    Pesawat kargo Antonov An-12 yang berpangkalan di Ukraine membawa periuk api dan sekitar 11 tan senjata ke Bangladesh apabila ia terhempas pada malam kelmarin, kata menteri Nebojsa Stefanovic.

    Melalui perkongsian rakaman media oleh beberapa saksi dalam media sosial menunjukkan pesawat itu mengalami kebakaran ketika ia terhempas.

    “Saya fikir kakitangan yang maut itu adalah warganegara Ukraine tetapi saya tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu. Mereka bukannya rakyat Serbia,” kata Stefanovic kepada sidang akhbar. Pesawat itu berlepas dari lapangan terbang Nis di Serbia pada pukul 8:40 malam waktu tempatan kelmarin, membawa senjata yang dimiliki oleh syarikat swasta Serbia, Valir, katanya.

    Media Greece berkata ia telah membuat permohonan untuk membuat pendaratan kecemasan di lapangan terbang Kavala tetapi tidak berjaya menghubungi mereka.

    Sementara itu, perkhidmatan penyelamat Greece menggunakan dron pada hari ini untuk memantau pesawat terhempas itu namun mengkhuatiri mengenai toksik yang terdapat pada kargo tersebut yang memaksa mereka mengekalkan jarak antara pesawat itu.

    Saluran televisyen (TV) yang dijalankan oleh kerajaan berkata pasukan tentera, pakar bahan letupan dan kakitangan Pesuruhjaya Tenaga Atom Greece akan mendekati tempat kejadian setelah ia dijamin selamat.

    “Anggota daripada perkhidmatan bomba dengan pakaian khas dan peralatan pengukur mendekati tempat kejadian agar dapat melihat dengan lebih dekat pada badan kapal serta beberapa serpihan bangkai kapal di tempat berkenaan,” kata pegawai bomba, Marios Apostolidis kepada pemberita. – AFP

    Imej menunjukkan serpihan-serpihan bangkai kapal Antonov An-12 selepas terhempas dan meragut lapan nyawa di Greece. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...