Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    80 berentap dalam kejohanan karate

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 14 JULAI – Lebih daripada 80 ahli karate mempamerkan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi apabila mereka berentap dan bersemuka dalam siri perlawanan yang diadakan sebagai sebahagian daripada Kejohanan Karate Wadokai Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) 2024.

    Pertandingan yang dianjurkan oleh Wadokai Karate Brunei Darussalam dan BSRC berlangsung hari ini di dewan kelab itu menyaksikan peserta dari Wadokai Karate Brunei Darussalam, Shitokai Karate Kuala Belait, Kumpulan Karate Gojukai, dan Kelab Karate Politeknik Lumut bersaing dalam 30 kategori.

    Acara tersebut dibahagikan kepada 11 acara Karate Kata dan 19 acara Karate Kumite, yang memfokuskan kepada melaksanakan urutan gerakan karate yang tertentu menentang lawan, dan teknik sparring menentang pesaing lain secara berurutan.

    Presiden Persatuan Karate Negara Brunei Darussalam (BRUKAF), Pengiran Haji Yura Kasteria bin Pengiran Setia Negara (Dr) Haji Mohd Yusof menyelia pertandingan yang diadakan pada pagi itu sebagai tetamu kehormat.

    Turut hadir ialah Presiden Wadokai Karate Brunei Darussalam, Haji Sayed Jefferydean bin Haji Sayed Mohammed, serta wakil daripada pelbagai penyokong dan penaja pertandingan tersebut.

    Pertandingan bertujuan untuk mempamerkan bakat ahli Wadokai Karate daripada pelbagai peringkat umur, mempromosikan seni karate Wadokai dan menyediakan platform bagi peserta mempamerkan kemahiran mereka.

    Antara peserta yang bertanding semasa kejohanan berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Dengan pelbagai kategori yang luas, pertandingan itu memastikan bahawa peserta dari semua peringkat umur dan tahap kemahiran dapat mempamerkan kehebatan dan kepandaian mereka dalam kedua-dua acara kata dan kumite.

    Selain itu, peserta terbaik dalam kategori berkenaan turut dipilih untuk bersaing dalam kategori terbaik bagi Kumite Lelaki untuk sembilan hingga 11 tahun, Kumite Perempuan untuk 12 hingga 15 tahun, dan Kumite bagi Kadet Remaja dan Senior.

    Antara peserta yang mencapai kecemerlangan dan bangkit menjadi yang terbaik di antara yang lain termasuk Wan Azlee Khairi bin Wan Zuraimi untuk Kumite Lelaki berumur sembilan hingga 11 tahun, manakala Aura Raihanna Danish binti Mohd Shahrel dan Awangku Mohd Abdul Qawi bin Pengiran Haji Zainal masing-masing mencapai yang terbaik dalam Kumite Wanita bagi umur 12 hingga 15 tahun, dan Kumite untuk kadet junior dan senior.

    Sementara itu, pertandingan itu turut menyaksikan acara khas di mana pemenang pingat dan bekas atlet yang mewakili Brunei bagi Sukan Tenggara Asia (SEA) dan temasya ASEAN pada 1990an dapat mempamerkan kemahiran dan bakat karate mereka untuk memberikan inspirasi kepada atlet karate generasi akan datang.

    Pada akhir pertandingan, pemenang 30 kategori dan peserta terbaik menerima anugerah dan pingat daripada tetamu kehormat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda