Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    ACCP terus utamakan hak pengguna ASEAN

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Pemangku Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim, mengutamakan pendekatan yang tegas dan pragmatik bagi memajukan agenda perlindungan pengguna di rantau ASEAN.

    Beliau menegaskan perkara itu dalam ucapan pada Majlis Makan Tengah Hari yang dianjurkan bagi perwakilan yang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perlindungan Pengguna ASEAN (ACCP) kali ke-28 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, hari ini.

    Pada majlis itu, beliau turut menegaskan keperluan menyusun strategi pasca 2025, bagi memastikan pengguna lebih diperkasa dengan hak untuk keselamatan dan pilihan, serta diberikan maklumat yang betul sebelum membuat keputusan, dan diberikan hak untuk didengari.

    Beliau juga mengambil maklum bahawa ACCP telah mencapai kejayaan dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Tindakan Strategik Perlindungan Pengguna ASEAN 2025.

    Antara kejayaan yang dicapai termasuk pembangunan rangka kerja bagi kerjasama rentas sempadan, pemerkasaan pengguna, pembangunan kapasiti dengan penglibatan rakan pembangunan ACCP, dan yang terkini, Report on Dispute Resolution in ASEAN and the Guidelines on Consumer Impact Assessment.

    Awang Mohammad Harris menyampaikan ucapan di majlis itu. – GAMBAR SERAHAN JPES

    Walaupun ACCP telah merekodkan beberapa pencapaian, beliau berharap ACCP menjadi lebih responsif dan inovatif berikutan perkembangan landskap digitalisasi dan transaksi rentas sempadan yang kian berkembang.

    Beliau turut berterima kasih kepada Penolong Ketua Eksekutif Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS), Loke Shiu Meng selaku Pengerusi ACCP atas kepimpinan dalam memajukan agenda perlindungan pengguna di rantau ASEAN.

    Penghargaan juga diberikan kepada rakan pembangunan ACCP melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti perlindungan pengguna di bawah Program Integrasi Ekonomi ASEAN-UK, Program Hal Ehwal Pengguna AANZFTA dan Program GIZ PROTECT 2.

    Beliau turut menggalakkan perwakilan terus memberikan sokongan dalam perbincangan akan datang dengan meneroka tindakan-tindakan inovatif ke arah menjana persekitaran pengguna yang wajar di rantau ASEAN.

    Beliau juga mengharapkan mesyuarat yang lebih produktif di Brunei Darussalam dan berjaya mencapai sasaran yang diharapkan, termasuk perbincangan yang bermanfaat mengenai Pelan Tindakan Perlindungan Pengguna pasca 2025.

    Majlis itu telah dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari agensi perlindungan pengguna dari negara-negara anggota ASEAN, wakil dari Sekretariat ASEAN, Timor-Leste sebagai pemerhati, serta rakan pembangunan ACCP. Majlis tersebut dianjurkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik di Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...