Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    AI berpotensi merevolusikan sektor awam

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Kecerdasan buatan (AI) merupakan kuasa transformatif yang telah membentuk semula industri, ekonomi dan masyarakat di mana dalam sektor awam, ia menawarkan potensi untuk merubah secara asasnya bagaimana kita mentadbir, melibatkan diri dengan penduduk serta menyampaikan perkhidmatan.

    Oleh itu, tema Revolutionizing the Public Sector: AI for Good Governance, amat bertepatan dengan kita berada di persimpangan pentadbiran awam dan inovasi teknologi, jelas Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin dalam ucapannya semasa Forum Urus Tadbir Baik yang berlangsung di salah sebuah hotel di Jerudong, hari ini.

    Beliau selaku Ketua Delegasi Kerjasama ASEAN mengenai Hal Ehwal Perkhidmatan Awam (ACCSM) Negara Brunei Darussalam menyatakan tema itu adalah selaras dengan Pelan Kerja ACCSM 2021-2025 khususnya Bidang Keutamaan 1 yang menumpukan kepada meningkatkan standard dan kompetensi tenaga kerja dalam sektor awam dan Bidang Keutamaan 5 yang menumpukan pemodenanan dan pembaharuan sektor awam.

    “Dengan meneroka peranan AI dalam bidang-bidang ini, kita boleh membuka laluan baharu untuk mencapai kemajuan yang bermakna dan memajukan urus tadbir di seluruh rantau kita,” tambahnya.

    Awang Ajman berkata dengan memanfaatkan AI, kita boleh meningkatkam standard dan kemahiran menerusi latihan khusus dan pada masa yang sama, AI juga akan mengautomasikan tugasan rutin, membolehkan kakitangan kita untuk memberikan tumpuan kepada kerja-kerja berimpak serta strategik.

    Pendekatan dua hala itu, ulasnya, bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan tetapi juga dapat memastikan tenaga kerja kita adalah serba lengkap untuk menangani pemintaan urus tadbir yang berubah dengan lebih efektif.

    Menyentuh Bidang Keutamaan 5 yang menumpukan kepada pemodenan dan pembaharuan sektor awam, Awang Ajman menyatakan bahawa AI berada di barisan hadapan transformasi berkenaan.

    Beliau berkata dengan menerima pakai teknologi AI, ia akan memberikan kita peluang untuk memikirkan semula dan merevolusikan sektor awam.

    “Selain itu, AI meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dengan menawarkan cerapan masa nyata tentang operasi kerajaan.

    “Ini memupuk kepercayaan dan menggalakkan tadbir urus yang lebih terlibat, memastikan sektor awam kita kekal responsif dan bertanggungjawab kepada orang yang kita berkhidmat untuk,” tambahnya.

    Di sebalik kemajuan itu, tekannya, AI juga mempunyai risikonya seperti kerisauan etika, isu privasi data dan keperluan bagi peraturan mantap. Untuk menangani cabaran-cabaran itu memerlukan pendekatan pelbagai displin dengan melibatkan suara-suara daripada industri, akademia, masyarakat sivil dan kerajaan.

    Oleh itu, beliau menyatakan bahawa forum berkenaan menyediakan platform penting bagi menubuhkan rangkaian dengan pemimpin, rakan sebaya dan pakar, memupuk kolaborasi serta berkongsi amalan terbaik.

    Awang Ajman menekankan bahawa perbincangan seumpama itu dalam membentuk dan memperhalusi lagi strategi-strategi organisasi bagi perlaksanaan AI dengan bertanggungjawab.

    Awang Ajman semasa menyampaikan ucapannya pada Forum Urus Tadbir Baik. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda